Sembang Maniac

Sembang-sembang je

Hukumnya 'Harus' Menceraikan Isteri Ketika Hamil

Majoriti ulama 'mengharuskan' talak isteri sewaktu sedang hamil, kerana talak boleh saja jatuh pada bila-bila masa dan sah talaknya. Tiada tempat tidak jatuh talak kecuali ketika gila namun, apa sekalipun sebab seseorang suami hendak menceraikan isteri tetap ada waktu haramnya iaitu ketika haid.

Hukum cerai isteri hamil

Tsabit satu hadis yang maksudnya, "Dari Ibnu Umar r.a. bahawa dia pernah menceraikan isterinya dalam keadaan haid. Kemudian Umar bin Khatthab r.a. menceritakan kejadian tersebut kepada Nabi. Lantas beliau pun berkata kepada Umar bin Khatthab r.a., ‘Perintahkanlah kepada dia (Ibnu Umar) supaya kembali kepada isterinya, kemudian talaklah dia dalam keadaan dia suci atau hamil." Sahih Muslim (1471)

Hadis ini menjelaskan dua hukum, iaitu haramnya talak sewaktu isteri sedang haid dan harusnya talak sewaktu isteri sedang hamil.

Imam al-Nawawi sewaktu mensyarahkan hadis ini berkata, hadis ini menjadi dalil keharusan talak sewaktu isteri sedang hamil yang jelas kehamilannya dan ia merupakan pandangan mazhab Syafi’e.

Ibnul Mundzir berkata, pandangan ini juga dipegang oleh majoriti ulama, antaranya Thawus, Al-Hasan, Ibnu Sirin, Rabiah, Hammad bin Abi Sulaiman, Malik, Ahmad, Ishaq, Abu Tsur, dan Abu Ubaid.

Namun, Ibnul Munzir turut menambah bahawa terdapat sebahagian ulama mazhab Maliki yang mengharamkannya, manakala Al-Hasan al-Basri memakruhkannya. (Rujuk Syarh Sahih Muslim, 10/65) Salah satu qaul Imam Malik juga (Rujuk Al-Mudawwanah 2/4).

Talak sewaktu isteri sedang hamil terletak di bawah kategori talak yang bukan sunniy dan bukan bid’iyy, maka hukumnya adalah harus.

Hal ini kerana ‘iddahnya tertakluk kepada kelahiran kandungan, bukan kepada haid. (Rujuk Al-‘Inayah Syarh al-Hidayah 3/478, Syarh al-Zarqani ‘ala Mukhtasar al-Khalil 4/144, Hasyiyata Qalyubi wa ‘Umairah 3/349, Bahr al-Mazhab 10/18, Manar al-Sabil fi Syarh al-Dalil 2/237 dan Al-Taqrirat al-Sadidah fil Masai’l al-Mufidah, hal. 92)

Namun, demikian jika tidak terzahir pada wanita tersebut tanda-tanda kehamilan, maka ia menjadi talaq bid’iy. (Rujuk Hasyiyah Bujairimi ‘ala al-Khathib 3/505).

Namun, pendapat yang dianggap kuat adalah pendapat majoriti ulama yang mengharuskan penalakan wanita yang sedang hamil.

Dan iddah bagi wanita hamil yang ditalak adalah sehingga dia melahirkan kandungannya sebagaimana firman Allah SWT yang maksudnya, "Wanita-wanita yang hamil, waktu iddah mereka adalah sehingga mereka melahirkan kandungan mereka." Surah al-Thalaq (4)

Manakala dari sudut perundangan, sekiranya isteri diceraikan ketika dia sedang hamil maka dia juga layak mendapat kemudahan-kemudahan seperti perempuan yang diceraikan dengan talak rajie, iaitu makanan, pakaian, tempat tinggal dan apa-apa perbelanjaan lain yang patut.

Kesimpulan

Kesimpulannya, kami berpegang kepada pendapat majoriti ulama, bahawa hukum menceraikan isteri sewaktu dalam keadaan hamil ialah harus, tidak haram dan tidak juga makruh.

Tapi suka juga kami ingatkan, seseorang isteri yang mengandung akan menghadapi keletihan dan tekanan perasaan memikirkan tentang kesempurnaan bayi kandungannya.

Apabila berlaku perceraian, ia akan menambahkan lagi penderitaan dan kesusahan yang terpaksa ditanggung, sekali gus menjejaskan kesempurnaan bayi dan menganggu kesihatan si ibu.

Seorang suami yang baik pastinya akan mengambil kira segala aspek dan melakukan semua ikhtiyar sebelum melafazkan cerai terhadap isteri.

Begitu juga kami tegaskan, sebarang urusan berkaitan perceraian hendaklah dirujuk kepada mahkamah Syariah sebagai pemegang kata putus dan selaku pihak yang berautoriti dalam urusan undang-undang keluarga Islam.

Wallahu a’lam.

BACA INI JUGA:

sumber: muftiwp



Banyak lagi menarik FB kami

http://bit.ly/14Mtwjx
via Sembang Maniac
0 Komentar untuk "Hukumnya 'Harus' Menceraikan Isteri Ketika Hamil"

 
Copyright © 2014 Sembang Maniac - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info