Dari debu Galaxy Note 7, Galaxy Note Fan Edition muncul dengan bateri yang lebih selamat, antaramuka yang terkini dan harga yang lebih mesra dompet. Peranti ini dilancarkan di Malaysia bulan lalu selepas beberapa bulan hanya ditawarkan di Korea Selatan.
Nama yang diberikan mungkin Fan Edition, tetapi nama yang lebih sesuai baginya mungkin “Value Edition” kerana pada hemat kami ia adalah phablet berstylus paling berbaloi di pasaran tahun ini. Mengapa kami katakan begini? Sila baca ulasan di bawah untuk maklumat lebih lengkap.
Spesifikasi
Samsung Galaxy Note Fan Edition | |
---|---|
Skrin | 5.7″ QHD SAMOLED (518 PPI) |
Pemproses | 2.3 x 4 + 1.6 x 4 GHz Exynos 8890 |
Cip Grafik | Mali T880 MP12 |
RAM | 4 Gigabyte |
Storan | 64 Gigabyte (MikroSD sehingga 256 GB) |
Kamera Utama | 12 Megapixel , f/1.7, OIS |
Kamera Depan | 5 Megapixel f/1.7 |
Bateri | 3200 mAh (Pengecasan Pantas) |
SIM/Telefoni | Dwi SIM Nano (Talam Hibrid) |
NFC | Ya |
Infra Merah | Tiada |
Sistem Imbasan | Cap Jari, Nadi dan Anak Mata |
Harga Jualan | RM 2599 |
Tempoh Ulasan | 14 Hari |
Samsung Galaxy Note Fan Edition hanya dilengkapi skrin 5.7 SAMOLED dengan resolusi QHD. Skrin ini boleh dianggap kecil jika dibandingkan dengan peranti nirbingkai semasa seperti Galaxy S8+. OnePlus 5T dan Huawei Mate 10.
Tahun lalu ia diiklankan dengan kemampuan HDR tetapi aneh sekali fungsi tidak lagi dinyatakan pada laman rasmi FE. Malahan apabila menonton kandungan HDR, hanya video SDR dipaparkan. Skrin SAMOLED yang digunakan masih lagi memaparkan imej yang tajam dengan warna yang menyerlah. Tetapi apabila dibandingkan dengan Note 8, ia jelas satu langkah ke belakang. Seperti pada Note 8. pengguna boleh menetapkan resolusi ke QHD, FHD atau HD untuk mengurangkan penggunaan bateri.
Seterusnya ia dijana pemproses Exynos 8890, memori sebesar 4GB dan storan 64GB. Sokongan kad mikroSD sehingga 256 disertakan bagi yang inginkan storan lebih besar. Terdapat juga sokongan dwi-SIM nano menggunakan talam jenis hibrid. Perbezaan di antara Note FE dan Note 8 terletak pada pemproses yang satu generasi di belakang dan RAM yang lebih kecil (4 vs 6 GB).
Kamera utama 12-Megapixel f/1.7 dipadankan dengan kamera 5-Megapixel f/1.7. Ini adalah spesifikasi yang sama seperti Note 7 dan S7 Edge tahun lalu. Tiada sistem dwi-kamera dan hanya sebuah pengimbas nadi disertakan bersebelahan lensa kamera.
Bateri sebesar 3200 mAh disertakan dengan pengecasan pantas Adaptive Fast Charging melalui port USB-C. Kapasiti bateri pada Note FE ialah 300 mAh lebih kecil berbanding Note 7. Penggunaan bateri yang lebih kecil ini ialah atas tujuan keselamatan kerana kepadatan bateri yang tinggi dipersalahkan ke atas masalah letusan bateri tahun lalu.
Pengimbas cap jari terletak pada bahagian dagu terbina pada butang home. Note FE ialah peranti Note generasi terakhir yang masih menggunakan pengimbas fizikal pada bahagian belakang. Dengan kepopularan rekaan nirbingkai, sistem pengimbas pada bahagian belakang atau terbina pada skrin akan menggantikan rekaan klasik ini.
Fungsi-fungsi lain yang disokong ialah Samsung Pay, NFC, bicu audio dan stylus S-Pen. Semuanya dimasukkan ke dalam rekaan kompak dengan kemampuan kalis air IP68.
Secara keseluruhan Note FE hanyalah sebuah Note 7 yang lebih selamat. Perubahan hanya dilakukan pada kapasiti bateri dan perisian yang dipertingkatkan. Bagi mereka yang pernah memiliki Note 7 dan inginkan pengganti yang paling hampir, Note FE ialah peranti gantian terbaik.
Rekabentuk
Rekaan nirbingkai ialah trend semasa yang kini turut boleh ditemui pada peranti kelas pertengahan. Kami akui rekaan nirbingkai membuatkan peranti kelihatan lebih semasa, seksi dan kemas. Namun realitinya ia turut menjadikan peranti terlalu panjang untuk penggunaan yang selesa.
Skrin Note FE mengekalkan nisbah klasik 16:9. Bagi golongan konservatif yang masih belum bersedia untuk berubah ke skrin 18:9, skrin Note FE ini kami boleh katakan sempurna. Hampir kesemua kawasan skrin boleh diakses dengan mudah.
Selepas tujuh bulan menggunakan Galaxy S8+ dan juga Note 8, menggunakan Note FE terasa jauh lebih selesa. Tiada keperluan untuk jari melakukan aksi yoga untuk menyentung butang navigasi atas skrin. Ketiga-tiga butang navigasi kapasitif pada dagu amat mudah diakses dengan sebelah tangan. Kekurangan sistem ini hanyalah susunan butang multi-tugas, home dan back tidak boleh diubah. Untuk penggunaan waktu malam, butang multi-tugas dan back mempunyai sokongan lampu.
Di atas skrin terdapat sistem imbasan iris terbina. Face ID pada iPhone X mungkin sedang hangat diperkatakan tetapi ramai mungkin terlupa Samsung telah menyertakannya pada Note 7 tahun lalu. Kami sedari proses mendaftar imbasan anak mata kini lebih pantas. Ia walaubagaimanapun masih tidak boleh digunakan oleh pemakai cermin mata. Aneh sekali tidak seperti pada Note 8 dan S8, sistem imbasan wajah tidak pula disertakan.
Pada sisi kanan terdapat butang kuasa manakala pada sisi kiri pula terdapat dua butang kawalan suara. Tiada butang khas untuk Bixby disertakan pada peranti ini. Talam SIM/mikroSD terletak pada bahagian atas. Bergerak ke bahagian bawah terdapat pembesar suara mono, port USB-C dan tempat simpanan S-Pen.
Stylus S-Pen mempunyai rekaan berspring yang perlu ditekan untuk mengeluarkannya. Rekaan ini juga mengelakkannya dari dimasukkan secara terbaik sehingga seperti yang berlaku pada Note 5 sebelum ini.
Bingkai logam yang digunakan selesa dipegang tanpa bahagian yang tajam. Dua panel kaca yang digunakan bercantum dengan kemas kepada bingkai ini. Rekaan serta kemasan Samsung memang tidak dapat dinafikan adalah antara yang terbaik di pasaran.
Panel kaca di belakang digunakan bagi membolehkan sokongan pengecasan tanpa wayar. Format Qi digunakan bagi memudahkan pengguna membeli aksesori. Memandangkan panel kaca digunakan, tidak mengejutkan ia menjadikan peranti bukan sahaja amat licin tetapi mudah memerangkap kotoran. Bagi mereka yang sukakan peranti yang “bogel” tanpa kerangka, mereka harus rajin membersihkan permukaan kaca ini.
Walaupun kami percaya rekaan nirbingkai ialah masa hadapan, kami termasuk di dalam golongan yang lebih suka menggunakan peranti 16:9. Note FE mengingatkan kami betapa selesanya skrin 16:9 berbanding 18:9. Komen ini datang dari pengguna S8+ dan Note 8 sejak bulan Mei. Walaupun sudah berbulan menggunakan peranti nirbingkai, rekaan skrin klasik Note FE pada hemat kami adalah lebih mesra pengguna dan selesa untuk jari.
Antaramuka
Android 7.0 digunakan dengan pelancar Samsung Experience 8.1. Ini adalah versi Android dan pelancar yang sama seperti yang ditemui pada Galaxy S8. Pelancar ini tidak hadir dengan butang talam aplikasi. Untuk membuka talam aplikasi, pengguna perlu menatal dari bawah skrin ke atas. Secara keseluruhan tiada perubahan dari segi rekaan antaramuka pada Note FE apabila dibandingkan dengan Galaxy S8.
Sepanjang tempoh ujian selama dua minggu kami tidak mengalami sebarang masalah sela masa dan peranti gagal berfungsi. Pengoptimasian telah dilakukan dengan baik pada peranti ini. Pada Note 7 yang sempat kami gunakan selama dua minggu tahun lalu, terdapat masalah sela masa yang agak ketara ketika menatal dan membuka aplikasi.
Seperti biasa apabila menggunakan peranti Samsung, mereka menyediakan pelbagai fungsi tambahan yang tidak ditemui pada Android Asloi. Berikut ialah senarai fungsi menarik yang boleh digunakan pemilik Note FE.
Always On Display – Paparan notifikasi dan masa yang sentiasa terpasang apabila peranti dikunci.
Clear Badge – Membuang jumlah notifikasi mesej belum dibaca pada aplikasi tertentu. Tekan sahaja ikon pada skrin dan pilihan ini akan diberikan.
Direct Call – Peranti melakukan panggilan telefon secara automatik apabila ia diletakkan ke telinga pengguna.
Dual Messenger – Menggunakan dua aplikasi dengan dua akaun berbeza secara serentak.
Easy Mute – Mematikan nada dering dengan meletakkan tangan di atas skrin atau menelangkupkan peranti.
Edge Lighting – Lampu pelbagai warna yang menyala apabila menerima panggilan telefon, mesej dan notifikasi aplikasi.
Edge Panel – Sama seperti tahun lalu tetapi kini lebih banyak pilihan panel. Antara yang menarik ialah panel kalkulator, berita terkini CNN dan Spotify. Tidak disertakan ialah fungsi App Pair yang membolehkan dua aplikasi dipasangkan dan kemudian sentiasa dilancarkan serentak menggunakan Dual-Window.
Game Launcher – Kemudahan merakam video aplikasi permainan serta mematikan kesemua notifikasi apabila ia diaktifkan.
Grid – Menetapkan saiz grid susunan ikon. Terdapat pilihan 4×4, 4×5, 5×5 atau 5X6.
Iris Unlock – Menyahkunci peranti dengan mengimbas anak mata. Menarik sekali ialah ketika mendaftarkan anak mata, cermin mata harus dibuka. Tetapi selepas itu peranti masih boleh dinyahkunci walaupun kami memakai cermin mata.
Multi Window – Melancarkan dua aplikasi serentak. Sistem Android Asli digunakan dan bukannya antaramuka lama yang ditemui sejak Galaxy NOte asal.
One Handed Mode – Mengecilkan paparan skrin bagi memudahkan penggunaan sebelah tangan dengan menekan butang home sebanyak tiga kali dengan pantas atau menatal dari bucu bawa ke atas.
Palm Capture – Menangkap gambar paparan skrin dengan menggunakan telapak tangan.
Quick Launch Camera – Melancarkan kamera dengan pantas dengan menekan butang home sebanyak dua kali.
Samsung Pay – Sistem perbayaran nirtunai.
Secure Folder – Menghalang akses kepada folder tertentu dengan menguncinya dengan cap jari, nombor pin atau paten.
Sleep – Menyahaktifkan aplikasi sementara. Tidak lagi menggunakan data atau memberikan notifikasi apabila diaktifkan.
Smart Stay – Skrin tidak akan terpadam selagi ia mengesan mata anda memandang skrin.
Themes – Kustomasi antaramuka dengan tema-tema baru yang boleh dimuat turun.
Stylus S Pen
Kewujudan S-Pen terbina ialah sebab mengapa tahun demi tahun pada hemat kami menjadikan peranti keluarga Note tidak boleh ditandingi peranti lain. Skrin yang besar boleh ditemui pada peranti lain tetapi sokongan stylus yang tidak perlu dicas menjadikannya yang terbaik di dalam kelasnya.
S-Pen Note FE ialah yang sama seperti yang ditemui pada Note 7 dan Note 8. Mata pena lebih kecil memudahkan lakaran yang lebih terperinci pada skrin. Ia mampu mengesan sehingga 4096 tahap tekanan. Pada bahagian belakang terdapat picu yang mengunci stylus di dalam tempat simpanan. Sistem picu mengelakkan daripada stylus dimasukkan secara terbalik seperti yang berlaku pada Galaxy Note 5 sebelum ini.
Teknologi Wacom yang digunakan memang sudah terkenal amat lancar dan tidak memerlukan sebarang pengecasan. Perkara negatif yang boleh kami katakan ialah ia masih diperbuat daripada plastik dan menjadikannya agak licin. Dengan panjang sekitar 4″, ia juga tidak memberikan keselesaan optimum seperti menggunakan sebuah Apple Pencil atau Surface Pen. Namun ini tidak dapat dielakkan kerana S-Pen perlu cukup kecil untuk disimpan di dalam tubuh peranti sepanjang masa.
Berikut ialah beberapa fungsi yang boleh dilakukan dengan S-Pen.
S-Note – Aplikasi terbina sejak Note generasi pertama kini diperbaiki. Apabila lakaran dilakukan di dalam aplikasi, kedengaran bunyi goresan pensel, berus dan marker yang realistik. Ini membuatkan melakar di atas skrin terasa lebih semulajadi. Agak malang kesan bunyi ini tidak disokong pada aplikasi pihak ketiga.
Screen Off Memo – Melancarkan aplikasi mengambil memo terus dari peranti yang dikunci. Memo yang ditulis atau lakaran yang dilakukan akan disimpan sejurus selepas S-Pen dimasukkan semula ke tempat simpanan.
Smart Select – Mengambil gambar sebahagian paparan skrin tertentu sahaja dengan menetapkan had kawasan. GIF beranimasi dari video juga boleh dihasilkan menggunakan fungsi ini.
Pelancaran Aplikasi Pantas – Pintasan pantas kepada aplikasi boleh diletakkan pada menu Air Command.
Google Translate – Melakukan alih bahasa secara automatik apabila cursor S-Pen diapungkan di atas perkataan yang ingin dialih bahasa.
Kamera
Tiada sistem dwi-kamera sebaliknya sensor 12-Megapixel f/1.7 OIS Galaxy S7 Edge dikitar semula pada Note FE. Ini bukanlah berita buruk kerana walaupun sudah berusia lebih setahun, sensor kamera ini masih lagi mampu mengambil gambar yang baik. Pada tetapan tertinggi 12-Megapixel ia merakam gambar pada nisbah 4:3. Untuk rakaman 16:9, resolusi diturunkan ke 9.1-Megapixel. Tetapan tertinggi untuk rakaman video pula ialah 4K 30FPS dengan pilihan untuk 1080P 60FPs dan 1080P 30FPS disertakan.
Bergerak ke hadapan kamera selfie 5-Megapixel f/1.7 disertakan. Tiada sokongan flash dan autofokus manakala mod rakaman maksimum ialah 1440P 30FPS. Terdapat mod rakaman selfie sudut lebar dan Virtual Shot disertakan.
Dengan tiadanya dwi-kamera, mod rakaman Live Focus tidak disertakan. Sistem Bixby Vision dan topeng wajah AR juga tidak disertakan.
Antaramuka kamera adalah kemas dengan ikonografi yang mudah difahami. Pengguna boleh memulakan rakaman gambar dan video terus dari paparan aplikasi kamera tanpa perlu menatalnya terlebih dahulu seperti pada antaramuka Sony. Terdapat beberapa pra-tetapan disertakan seperti mod automatik, pro, panorama, selective focus, hyperlapse dan food. Kesemua ini adalah fungsi yang sudah lama disertakan pada peranti Samsung. Beberapa penuras berwarna juga boleh dipilih.
Setahun telah berlalu dan secara ikhlasnya kamera Note FE masih lagi antara yang terbaik di pasaran sekarang. Perbezaannya dengan sensor yang ditemui pada S8 adalah kecil. Pada situasi pencahayaan yang baik, gambar yang diambil adalah tajam dengan penghasilan semula warna yang baik. Namun kami sedari ia tidak menyamai situasi sebenar dan sedikit kekuningan.
Dalam situasi pencahayaan yang kurang baik pula, lensa f/1.7 yang digunakan memastikan gambar yang diambil adalah terang. Dari pengamatan kami, hanya gambar yang diambil menggunakan Note 8 dan iPhone 8 Plus mempunyai kualiti yang lebih baik berbanding Note FE. Pendek kata walaupun sudah agak berusia, kemampuan kamera Note FE masih lagi cukup baik untuk tahun 2017.
Audio
Pembesar suara mono sahaja disertakan pada bahagian bawah peranti. Sungguhpun kecil, lontaran suara adalah lantang dan jelas walaupun pada tetapan tertinggi. Kualiti audio hanyalah sederhana jika dibandingkan dengan peranti dengan sistem audio stereo yang menghala ke hadapan. Bagi penggunaan panggilan pampas-tangan ia lebih dari memadai.
Note FE masih dilengkapi bicu audio bagi mereka yang masih belum bersedia untuk dunia USB-C. Kualiti audio adalah baik dengan treble yang jelas tetapi bass mengecewakan kerana dentuman yang kurang mantap. Apabila dibandingkan dengan HTC U11 yang kami ulas beberapa bulan yang lalu, Note FE tidak di dalam kelas yang sama. Apabila dibandingkan dengan Note 8 pula, perbezaan paling ketara sekali lagi dapat didengari pada bass. Peranti ini juga tidak menyokong pestriman LDAC dan aptX. Bagi peminat audio tegar, kekurangan ini dapat didengar dengan izhar halqi sekali.
Penanda Aras
Pemproses Exynos 8890 yang yang digunakan adalah sama seperti yang ditemui pada Galaxy S7 Edge. Ini dipadankan pula dengan RAM sebesar 4GB. Apakah perbezaan di antara Exynos 8890 dan Exynos 8895 yang digunakan pada peranti utama Samsung tahun ini?
Pada ujian Antutu ia mencatatkan 141318 markah manakala pada ujian Futuremark Ice Storm Unlimited pula 31942 markah dicatatkan. Markah yang dicatatkan ini memang rendah kerana pengguna pemproses tahun lalu.
Tetapi bagaimana pula dengan kegunaan di dalam dunia sebenar? Sepanjang tempoh ulasan selama dua minggu, Note FE berfungsi dengan amat lancar tanpa sela masa. Tiada masalah pemanasan melampau seperti yang kami sedari semasa menggunakan Note 7. Apa yang boleh kami katakan ialah Note FE masih boleh melakukan tugasan dengan baik walaupun dilengkapi pemproses generasi terdahulu.
Bateri
Pada penggunaan paling berat (skrin QHD+, menggunakan Waze, ditambat kepada Gear S3 dan menstrim audio Spotify secara bluetooth) peranti bertahan selama 12 jam 30 minit dengan skrin terpasang selama 5 jam 40 minit. Pada penggunaan sederhana pula peranti bertahan selama 22 Jam 30 minit dengan skrin terpasang selama hampir 4 jam 21 minit.
Ini bukanlah hayat penggunaan peranti yang membanggakan bagi sebuah peranti yang dilancarkan pada tahun 2017. Tidak mengejutkan kerana ia sebuah peranti tahun 2016 yang dijual semula. Bateri sebesar 3200 mAh yang disertakan adalah lebih kecil berbanding 3300 mAh yang digunakan pada Note 8. Dari segi SOT, Note 8 mempunyai tempoh terpasang lebih lama tetapi hayat penggunaan menyeluruh Note FE adalah di hadapan.
Apabila kehabisan bateri, sistem pengecasan pantas Adaptive Fast Charging mampu mengecas semula peranti dalam masa hanya 100 minit. Terdapat juga sokongan pengecasan pantas tanpa wayar.
Kelemahan paling ketara pada Galaxy Note FE ialah tahap ketahanan bateri yang mengecewakan mengikut standard 2017. Penggunaan bateri yang lebih kecil berbanding Note 7 dan pemproses generasi terdahulu yang menggunakan lebih banyak kuasa mendatangkan kesan negatif ke atas ketahanannya.
Samsung Galaxy Note FE VS Galaxy Note 8
Persoalan yang paling banyak kami terima semasa menggunakan Note FE ialah apakah yang fungsi yang tidak disertakan pada peranti ini apabila dibandingkan dengan Note 8? Oleh itu senarai bawah kami sertakan untuk anda.
- Tiada zoom optikal dan Live Focus.
- Tiada sokongan DEX.
- Tiada imbasan wajah. Hanya terdapat sokongan imbasan anak mata sahaja.
- Tiada butang Bixby terbina.
- Tiada pengimbas cap jari pada bahagian belakang.
- Tiada sokongan Bluetooth 5.0.
- Tiada Bixby Vision pada aplikasi kamera.
- Skrin 16:9.
- Tiada sokongan HDR.
- Tiada butang navigasi atas skrin.
- Tiada fungsi Live Message – GIF beranimasi dari Air Laucher apabila stylus dikeluarkan.
Kesimpulan
Setahun telah berlalu sejak insiden letupan bateri rawak pada Galaxy Note 7 menyebabkannya ditarik semula dari pasaran. Dari debu yang ditinggalkan Note FE bangkit seperti burung Phoenix dengan beberapa penambahbaikan berbanding model terdahulu.
Note FE bukan peranti yang mampu bersaing dengan Note 8 dari segi fungsi. Ia jelas mensasarkan pengguna yang masih memerlukan sebuah peranti pintar dengan stylus terbina pada harga yang lebih mampu milik. Ia dijual pada harga RM 2599 dan ini adalah jauh lebih murah berbanding RM 3999 untuk memiliki sebuah Note 8.
Persoalannya adakah ia masih berbaloi untuk dimiliki? Jawapan kami ialah ya. Kami telah menggunakan Note 8 sejak hari pelancaran dan kami boleh katakan Note FE adalah jauh lebih selesa digunakan kerana saiznya skrinnya yang lebih rasional. Skrin 16:9 memudahkan kesemua bahagian skrin diakses tanpa jari perlu melakukan aksi yoga sekiranya menggunakan skrin 18:9. Rekaan nirbingkai mungkin lebih terkini tetapi hakikatnya skrin 16:9 adalah jauh lebih mesra pengguna dan selesa. Kedudukan butang home dengan pengimbas cap jari pada bahagian hadapan juga lebih logikal dari pada bahagian belakang.
Kekurangan Note FE terletak pada tiadanya fungsi zoom optikal, Live Focus, butang khas Bixby dan sokongan DEX. Tetapi bagi kebanyakan pengguna fungsi-fungsi eksklusif Note 8 ini mungkin tidak diperlukan.
Samsung Galaxy Note FE ialah peranti dengan stylus paling berbaloi untuk tahun 2017 kerana masih lagi berkuasa, dijual pada harga lebih mampu milik dan lebih selesa digunakan berbanding sebuah Note 8. Kami ada mendengar orang melakukan jenaka Note FE ialah Fireproof Edition. Hakikatnya ialah Note FE paling cocok sekiranya dijenamakan sebagai VE, Value Edition.
Kelebihan | Kekurangan |
|
|
Banyak lagi menarik FB kami
http://ift.tt/14Mtwjx
via Sembang Maniac
0 Komentar untuk "Ulasan Samsung Galaxy Note Fan Edition – Phablet Berstylus Paling Berbaloi 2017"