Google mengambil alih pasukan yang bertanggungjawab menghasilkan Google Pixel dari HTC dengan bayaran $1.1 Billion minggu lalu. Jelas disini Google menyedari HTC mempunyai pasukan yang berbakat menghasilkan peranti yang baik.
Tetapi ini bukanlah misteri bagi mereka yang pernah menggunakan peranti keluaran HTC. Syarikat dari Taiwan ini pernah suatu ketika adalah kuasa besar dunia peranti pintar. Mereka menghasilkan peranti Android pertama (HTC Dream) dan Nexus pertama (HTC Nexus One). Pedigree HTC tidak dapat disangkal lagi.
Masalah utama HTC ialah mereka gagal mempromosikan peranti dengan baik atau terlupa inovasi yang mereka hasilkan sendiri. Berikut ialah pada pendapat kami lima peranti terbaik yang pernah dihasilkan oleh HTC.
HTC One M7
HTC One M7 sehingga kini adalah antara lima peranti yang terbaik yang pernah kami miliki. Tidak seperti peranti utama lain di pasaran pada tahun 2013, One M7 mempunyai tubuh yang diperbuat daripada sebongkah aluminium. Ia amat selesa dipegang dengan bahagian belakang yang melengkung. Ia anjakan paradigma rekaan peranti utama Android yang pada waktu tersebut masih lagi diperbuat daripada bahan plastik.
Inovasi terbesar HTC One M7 selain mempopularkan tubuh logam ialah penggunaan pembesar suara stereo BoomSound pada bahagian hadapan, HTC Zoe dan jalur antena yang kemudian turut ditemui pada peranti iPhone, Oppo, Vivo dan Samsung. One M7 ialah magnum opus rekaan peranti pintar pada tahun 2013 dan mendapat pelbagai anugerah. Terdapat sokongan Beats by Dre yang memastikan audio berdentum di dalam telinga.
Tidak semua inovasi One M7 ini mendapat sambutan. HTC Zoe lebih awal merakam video pendek selama empat saat dengan setiap gambar yang kemudiannya menjadi ilham kepada Apple Live Photo. Kamera utama 4-Ultrapixel masih mengecewakan walaupun merakam gambar yang baik pada waktu malam. Ramai pemilik One M7 melaporkan masalah purple tint pada kamera selepas peranti digunakan selama setahun.
Empat tahun selepas dilancarkan, pembesar suara BoomSound pada peranti ini masih yang terbaik pada peranti mudah alih. Agak menyedihkan apabila melihat kini HTC sendiri tidak lagi menggunakan konfigurasi pembesar suara yang menghala ke hadapan sepenuhnya.
Baca ulasan penuh HTC One
HTC Butterfly 2
Harus kami akui HTC Butterfly 2 mungkin pilihan yang agak aneh di dalam senarai ini. Tetapi selepas mengulasnya pada tahun 2014, kami menyedari ia adalah alternatif lebih baik berbanding One M8 yang dilancarkan pada tahun yang sama.
Tidak seperti One M8, Butterfly 2 diperbuat daripada badan polikarbonat yang tahana lasak. Ia juga mempunyai ketahanan kalis air IPX7 yang tidak ditemui pada One M8. Ini berjaya dilalukan walaupun Butterfly 2 mempunyai port pengecas dan bicu audio yang terbuka. Sony Xperia Z3 dan Samsung Galaxy S5 yang yang turut dilancarkan pada tahun 2014 mempunyai ketahanan kalis air tetapi mempunyai port yang perlu ditutup.
Pada waktu yang sama ia dilengkapi sistem stereo BoomSound dan dwi-kamera HTC Duo Camera yang memerikan kesan bokeh lebih awal dari peranti dwi-kamera semasa. Fungsi 3D Effect pula membolehkan gambar seakan tiga dimensi dirakam. Seperti HTC Zoe, kesemua fungsi-fungsi ini dan Duo Camera tidak lagi disertakan pada peranti keluaran HTC.
Baca ulasan penuh HTC Butterfly 2
HTC U11
HTC U11 mungkin akan memenangi anugerah “antara peranti terbaik di pasaran tetapi tidak dipedulikan tahun 2017”. Ini ialah sama seperti nasib yang menimpa HTC One M7 empat tahun yang lalu. Kegagalan HTC untuk mempromosikan peranti mereka menyebabkan jualan tidak memberangsangkan. Mengapa HTC U11 kami masukkan ke dalam senarai ini?
Mudah, kerana ia memang antara peranti terbaik kami ulas tahun ini. Ia dilengkapi kamera yang baik, penggunaan hampir Android Asli, rekaan yang selesa dipegang dan Edge Sense. HTC meneruskan inovasi dalam penghasilan peranti pintar dengan pengenalan bingkai yang boleh dipicit. Dari beberapa maklumat yang tertiris, Edge Sense ini akan digunapakai pada peranti Google Pixel 2 dan dijenamakan semula sebagai Active Edge.
Jualan peranti ini mungkin mengecewakan tetapi HTC U11 kini saya gunakan sendiri sebagai peranti kegunaan harian kerana ia tidak mengecewakan, berfungsi dengan lancar dan tidak bermasalah.
Baca ulasan penuh HTC U11
Google Pixel/ Pixel XL
Ini mungkin dianggap mengelat kerana logo HTC tidak tertulis pada Google Pixel. Tetapi semua orang tahu Google Pixel dan Pixel XL dihasilkan oleh pihak HTC. Ia percubaan serius pertama Google untuk bersaing dengan Apple selepas eksperimen dengan peranti Nexus tidak mendatangkan hasil yang dikehendaki.
Selepas dilancarkan Pixel menerima pujian kerana mempunyai kamera yang terbaik di pasaran. Sistem HDR+ dan penstabilan elektroniknya antara sebab mengapa Pixel perlu dimiliki. Penggunaan Android Asli yang kini semakin matang menjadikannya peranti yang bukan sahaja mempunyai antaramuka yang cantik malahan beroperasi dengan lancar.
Kelemahan yang ada ialah ia tidak kalis air seperti peranti utama 2016 serta masalah lensa yang mengambil gambar dengan kesan silau. Tetapi ia percubaan pertama Google yang akhirnya berjaya menyaingi peranti iPhone. Kerana kejayaan inilah pasukan yang menghasilkan Pixel diambil alih oleh Google dengan nilai $1.1 Billion minggu lalu.
Baca pandang pertama Google Pixel XL
HTC HD2
Pada tahun 2009 HTC HD2 dilancarkan dengan sistem operasi Windows Mobile. Pada September 2016, Android Nougat berjaya dipasang pada HD2 menggunakan Cyanogen Mod. Dalam masa tujuh tahun sejak dilancarkan. HTC HD2 mampu menjalankan sistem operasi Windows Phone 7, Ubuntu, Android, MeeGo dan Windows Mobile. Sehingga kini HD2 memegang rekod sebagai peranti yang mampu menggunakan pelbagai sistem operasi. Di kalangan modders, HTC HD2 ialah “Peranti Dewa” yang tidak kenal erti mengalah.
Kesemua ini tambah menakjubkan apabila anda menyedari peranti dengan skrin 4.3″ LCD ini hanya diperkasakan pemproses Qualcomm Scorpio (Snapdragon S1) 1GHz satu teras, memori 576MB dan storan 512MB.
HTC HD2 pada hemat kami ialah peranti paling agung yang pernah dihasilkan High Tech Company Taiwan. Status ini mungkin kekal selama-lamanya kerana setakat ini tidak ada peranti lain yang mempunyai kemampuan menjalankan pelbagai sistem operasi sepertinya.
Setujukah anda dengan senarai ringkas ini? Apakah peranti yang mungkin anda rasakan kami telah terlepas pandang? Seperti biasa kongsikan pendapat anda di ruangan komen di bawah.
Banyak lagi menarik FB kami
http://ift.tt/14Mtwjx
via Sembang Maniac
0 Komentar untuk "5 Peranti Terbaik Pernah Dihasilkan Oleh HTC"