Pada reruai MSI di Computex Taipei, selain dari mempamerkan MSI Backpack PC, komputer desktop Aegis X dan juga kad grafik siri Twin Frozr terbaru mereka dengan kad grafik GTX 1080, MSI turut menampilkan sejumlah papan induk (motherboard) yang baru yang akan hadir ke pasaran global. Salah satu variasi tertinggi yang ditawarkan mereka adalah siri X99A yang membawakan palam USB-C dibahagian hadapan.
Papan induk X99A Godlike Gaming Carbon merupakan siri dengan spesifikasi tertinggi. Papan induk ini menyokong Intel Core i7 Extreme Edition, dan sesuai bagi peminat overclocking. Ia mempunyai 8 slot RAM DDR4-3466 (OC) dan mempunyai 5 slot PCI-E x16. Salah satu perkara yang membezakan Godlike Gaming Carbon ialah ia mempunyai fungsi DoubleShot-X3 Pro iaitu fungsi Killer Wifi dan dua palam LAN yang dikenali sebagai Killer E2400 Gigabit membolehkan pemain bermain permainan atas talian dengan lebih stabil.
Jika pengguna inginkan papan induk pada warna yang berlainan, papan induk X99A XPower Gaming Titanium hadir pada warna putih dan kemasan material titanium. Ia menyertakan spesifikasi yang hampir sama dengan X99A Godlike Gaming Carbon, kecuali dengan ketiadaan dua slot LAN, dimana ia hanya menggunakan Intel i218-V Gigabit Lan. Slot RAM-nya juga sama, iaitu sebanyak 8 slot yang boleh beroperasi pada kelajuan DDR4-3466(OC).
Satu lagi papan induk berasaskan Intel X99 Chipset adalah MSI X99A Gaming Pro Carbon. Berbeza dengan Godlike Gaming Pro dan XPower Gaming Titanium, papan induk ini hanya mempunyai 4 slot PCIe 3.0 x16. Ia mengekalkan ruangan RAM sebanyak 8, dengan kelajuan yang sama DDR4-3466(OC). Salah satu kelainan adalah terdapat butang yang boleh ditekan untuk menghidupkan papan induk ini. Pada papan induk ini juga tidak terdapat dua palam LAN dan fungsi Killer WiFi seperti kad terdahulu.
Terdapat sejenis lagi variasi X99A iaitu MSI X99A Workstation yang dikhususkan penggunaannya untuk mereka yang ingin membangunkan desktop untuk tujuan perusahaan atau menjadikan ia sebagai pelayan (server). Ia hanya mempunyai tiga slot PCI-E yang menyokong sambungan SLI tiga-hala dan dilengkapi dengan rangkaian penyambungan internet yang mematuhi piawaian pelayan (server).
Kesemua papan induk diatas menyertakan palam USB-C dibahagian hadapan dan dibahagian belakang namun terdapat perbezaan dari segi kelajuan, dimana dibahagian belakang merupakan USB-C yang menyokong USB 3.1 generasi kedua yang lebih laju berbanding USB-C dibahagian hadapan yang merupakan USB 3.1 generasi pertama. Papan induk ini juga mempunyai hiasan LED yang boleh ditukar mengikut citarasa pengguna. Bagi kesemua papan induk ini, ia juga menyokong fungsi realiti-maya dan sesuai dipadankan dengan kad grafik berprestasi tinggi.
Buat masa ini tiada sebarang kata putus berkenaan harga papan induk ini namun pihak MSI mengatakan papan induk X99A ini akan hadir ke pasaran dalam masa terdekat.
Banyak lagi menarik FB kami
http://ift.tt/14Mtwjx
via Sembang Maniac
0 Komentar untuk "MSI Menampilkan Papan Induk X99A Pada Empat Variasi – Gaming Pro Carbon, Godlike, Titanium & Workstation"