Sony Mobile seperti setiap tahun, turut telah menghadirkan diri mereka ke acara Mobile World Congress yang berlangsung di Barcelona, dan mencuri perhatian dengan jerayawara mereka yang sangat besar – selain pengumuman beberapa peranti konsep mereka.
Bercakap mengenai telefon pintar, Sony telah mengambil peluang untuk mengumumkan sebanyak tiga telefon pintar baru, yang mana hadir daripada siri baru mereka, dinamakan sebagai siri-X.
Sony dilihat memposisikan siri-X ini sedikit atas berbanding peranti pertengahan, tetapi dibawah siri-Z. Tiga telefon pintar dibawah siri-X menawarkan spesifikasi yang berbeza – daripada Xperia X yang menggunakan cip Snapdragon 625, sehinggalah telefon pintar Xperia X Performance yang dikuasakan oleh cip Snapdragon 820.
Berkunjung ke jerayawara Sony Mobile, kami telah berpeluang mencuba secara ringkas Xperia XA yang mana dijana menggunakan cip pemprosesan MediaTek Helio P10.
|
|
---|---|
Skrin | 5″ IPS LCD 720p |
Pemproses | MediaTek MT6755 Helio P10 |
Memori | 2 GB RAM |
Kamera Utama | 13 Megapixel |
Kamera Depan | 8 Megapixel |
Bateri | 2300mAh |
Xperia XA hadir dengan rekaan yang sangat kemas dengan pelbagai elemen daripada peranti Sony Xperia sebelum ini, dan pada masa yang sama sangat selesa untuk dipegang pada tangan.
Apa pun, yang mencuri perhatian pada Xperia XA adalah skrin 5-incinya yang menggunakan reka letak pada bingkai yang sangat nipis pada bahagian tepi kiri dan kanannya. Ini boleh dikatakan sebagai kali pertama Sony hadir dengan rekaan skrin seumpamanya, dan ia tampak sangat seksi pada peranti bersaiz 5-inci.
Bercakap mengenai rekaan juga, Sony mengekalkan penggunaan butang bersaiz sedikit besar pada bahagian tepi, dan menggunakan bahagian tepi yang boleh dibuka untuk memasukkan kad-SIM dan juga kad mikro-SD. Berbeza dengan Xperia X dan Xperia Performance, versi Xperia XA ini tidak menyertakan sokongan pengimbas cap jari.
Melengkapkan telefon pintar Xperia XA ini adalah penggunaan sistem operasi Android 6.0 Marshmallow. Xperia XA ini boleh dikatakan sebagai antara peranti terawal yang menggunakan sistem operasi Android terkini ini, dan ia hadir dengan penambahan antaramuka daripada Sony yang sangat minima.
Penggunaan Android 6.0 Marshmallow sangat lancar pada peranti berasaskan MediaTek ini, dan Sony turut menyertakan beberapa fungsi tambahan, seperti boleh mengakses ruangan carian dan aplikasi yang dicadangkan dengan menatal ke kiri pada talam aplikasi. Integrasi buku panduan pada bahagian tetapan untuk memudahkan pengguna memahami peranti mereka walaupun tidak mempunyai akses kepada internet, serta pelbagai integrasi perkhidmatan mereka pada peranti ini – termasuk sokongan aplikasi PlayStation.
Sony juga menyertakan fungsi ketahanan bateri yang sangat lama melalui Xperia XA – iaitu mampu bertahan sehingga 2 hari lamanya. Buat masa ini, boleh dikatakan peranti daripada Sony sering menawarkan masa bertahan bateri yang baik jikalau dibandingkan dengan beberapa peranti lain.
Secara keseluruhan, kami dapati Xperia XA ini amat selesa di tangan, dan penawaran Android yang lancar mungkin diminati ramai – apatah lagi dengan rekaan skrin hadapan yang sedikit seksi berbanding pelbagai peranti lain di pasaran.
Buat masa ini, ia tidak diketahui lagi bilakah Xperia XA ini akan dilancarkan di pasaran tempatan. Tetapi, kami boleh katakan ia akan mencuri pandangan ramai apabila ia dipertontonkan pada kedai konsep Sony kelak.
Banyak lagi menarik FB kami
http://ift.tt/14Mtwjx
via Sembang Maniac
0 Komentar untuk "MWC 2016 : Sony Xperia XA – Telefon Pintar Dengan Bingkai Tepi Skrin Yang Sangat Nipis"