2015 ialah tahun yang baik untuk peranti pintar Android. Terdapat banyak pilihan peranti Android yang baik pada harga jualan yang mampu milik. Ianya juga tahun yang menunjukkan kemampuan kamera peranti Android kini dengan mudah memusnahkan mitos iPhone mempunyai kualiti gambar terbaik bagi peranti mudah alih. Samsung, Sony, Motorola dan Nexus kesemuanya mengeluarkan peranti yang juga setanding dengan iPhone 6S. Terpulang kepada pengguna untuk memilih peranti mana yang ingin dimiliki mereka. Jurang kualiti peranti utama Android dan Apple juga sudah hampir tidak wujud. Jurang yang masih kekal ialah harga jualan iPhone yang masih lagi lebih tinggi berbanding peranti utama Android dengan spesifikasi setanding.
Tidak seperti pengeluar peranti Android yang lain, Xiaomi mensasarkan golongan kelas pertengahan dengan menjual peranti yang dijual pada harga mampu milik. Kami sering menerima soalan yang bertanyakan sama ada berbaloikah membeli peranti mampu milik Xiaomi dari peranti lebih terkenal seperti Samsung. Tahun lalu jawapannya lebih menjurus kepada tidak. Redmi Note 4G yang dijual hanya menerima markah ulasan 7/10 berbanding 9/10 yang kami berikan kepada Samsung Galaxy Note 4. Dengan Redmi Note 2 adakah jurang kualiti antara phablet utama Samsung dan Xiaomi ini masih wujud? Teruskan membaca ulasan ini untuk mendapatkan jawapannya.
Spesifikasi & Rekaan
Xiaomi Redmi Note 2 | |
---|---|
Skrin | 5.5″ IPS LCD FHD (403 ppi) |
Pemproses | 2 GHz Lapan Teras MediaTek Helio X10 |
RAM | 2 Gigabyte |
Muatan Dalaman | 16 Gigabyte (MikroSD sehingga 32 GB) |
Kamera Utama | 13 Megapixel f/2.2 FHD |
Kamera Depan | 5 Megapixel f/2.0 FHD |
Bateri | 3060 mAh |
SIM/Telefoni | Dwi MikroSIM/ 4G |
NFC | Tiada |
Infra Merah | Ya |
Harga Jualan | RM 649 |
Dari segi rekaan beberapa perubahan kecil dilakukan berbanding tahun lalu. Skrin peranti masih lagi 5.5″ IPS LCD tetapi kali dengan resolusi dipertingkat kepada HD Penuh berbanding hanya 720P sebelum ini. Dari hadapan perbezaan dari segi rekaan tidak kelihatan. Ia masih menggunakan tiga butang navigasi kapasitif pada bahagian dagu. Butang home pada bahagian tengah dihimpit butang multi tasking pada sebelah kiri dan butang back pada sebelah kanan. Ketiga-tiga butang mempunyai sokongan lampu bagi memudahkan proses navigasi pada waktu malam.
Pemproses 2.0 GHz lapan teras MediaTek Helio X10 digunakan.Kelapan-lapan teras berfungsi pada frekuensi yang sama. Ini meletakkan Redmi Note 2 sebagai sebuah peranti dengan spesifikasi sederhana tinggi. Peranti lain di dalam kategori ini ialah HTC One E9+ yang memasuki pasaran tempatan Julai lalu. Pemproses ini digabungkan dengan RAM sebesar 2 Gigabyte dan memori dalaman 16 Gigabyte. Sokongan penambahan dalaman adalah sehingga 32 Gigabyte menggunakan kad MikroSD.
Peranti ini mempunyai dua slot untuk SIM Mikro dan menyokong rangkaian LTE. Kedua-dua slot SIM masih boleh digunakan walaupun anda menggunakan kad MikroSD kerana ia tidak berkongsi dengan slot penambahan memori dalaman. Secara ikhlas kami merasakan penggunaan SIM hibrid menyukarkan pengguna yang mahu menggunakan SIM serentak tetapu masih memerlukan slot penambahan memori dalaman. Syabas diucapkan kepada Xiaomi kerana menggunakan tiga slot berbeza untuk dua SIM dan satu kad MikroSD.
Kemampuan optik tahun ini masih sama iaitu kamera 13 Megapixel f/2.2 pada bahagian belakang dan 5 Megapixel pada bahagian hadapan. Kamera belakang kini mempunyai sistem pemfokusan PDAF yang pantas. Aneh sekali Redmi Note 2 hanya mampu mengambil video pada resolusi maksimum 1080P. HTC One E9+ yang kami katakan menggunakan pemproses yang sama mampu mengambil video pada resolusi 4K. Mengapa resolusi lebih tinggi tidak disokong tidak kami ketahui.
Butang kuasa dan suara masih di posisi sama pada sebelah kanan tubuh peranti. Tiada apa-apa pada sebelah kiri manakala port pengecasan MikroUSB terletak di bahagian bawah. Pada bahagian atas terdapat jack fon kepala 3.5mm dan pemancar infra merah. Penggunaan pemancar infra merah ini ialah fungsi baru yang tidak wujud pada model terdahulu. Agak menarik Xiaomi mampu menyertakan sebuah pemancar infra merah pada Redmi Note 2 sedangkan Samsung tidak menyertakannya pada Galaxy Note 5 yang dijual pada harga jauh lebih mahal.
Pada bahagian belakang terdapat sebuah pembesar suara mono.Jika dilihat pada kekisi yang digunakan kami menyangka pembesar suara ini adalah besar.Tetapi apabila panel belakang yang diperbuat daripada plastik dibuka ia mempunyai saiz yang sama seperti tahun lalu cuma posisinya diubah ke bahagian tengah. Bercakap tentang panel belakang, tahun ini kemasan yang digunakan adalah sedikit kasar. Ini sedikit sebanyak memastikan peranti tidak mudah tergelincir berbanding versi tahun lalu yang mempunyai kemasan yang berkilat.
Secara keseluruhan perubahan yang dilakukan tidaklah besar. Peranti adalah lebih mudah dipegang berbanding lelaran tahun lalu.Tubuh yang lebih nipis berbanding tahun bukan sahaja memudahkan genggaman, malahan ia juga lebih selesa diletakkan di dalam poket. Ia mungkin sebuah peranti yang diperbuat daripada bahan plastik yang kini semakin tidak popular, tetapi ia masih sebuah peranti yang menarik dari segi rekaan.
Antaramuka MIUI7
Android 5.0.2 digunakan dengan antaramuka MIUI 7 yang terkini. Dari segi rekaan MIUI adalah antaramuka yang pihak ketiga yang tercantik di pasaran sekarang. Ia banyak menggunakan rekaan minimalis dan rata yang selari dengan rekaan Material Design yang digunakan oleh Google. Seperti kebanyakan antaramuka dari China, MIUI tidak mempunyai talam aplikasi. Kesemua aplikasi yang dimuat turun akan dipaparkan pada skrin hadapan.
Terdapat beberapa fungsi baru diperkenalkan dengan lelaran MIUI terkini ini. Pertama sekali Xioami mengatakan ianya 30% lebih pantas berbanding versi sebelum ini. Terdapat juga sistem penjimatan penggunaan bateri. Ini adalah penting kerana pemproses MediaTek Helio X10 memang terkenal dengan kemampuannya menghabiskan bateri dengan pantas. Selain dua fungsi di atas terdapat juga fungsi Baby Album yang dapat mengesan wajah anak anda dan kemudian menghasilkan folder khas untuk mereka. Perisian Baby Album kemudian boleh menunjukkan perkembangan anak anda dari masa ke semasa. Bercakap tentang bayi kini wujud juga sokongan Child Mode, mod anak-anak yang menghadkan akses kepada beberapa aplikasi tertentu sahaja apabila ia diaktifkan. Fungsi ini bukanlah baru bagi peranti lain tetapi ia diperkenalkan buat pertama kalinya untuk peranti Xiaomi melalui MIUI7.
Fungsi-fungsi lama masih lagi dikekalkan. Sebagai contoh fungsi penggunaan sebelah tangan yang membolehkan paparan kelihatan seperti peranti bersaiz 3.5 – 4.5″ masih lagi disertakan. Jika anda gemar melakukan perubahan tema, fungsi Themes terbina membolehkan antaramuka diubah mengikut kehendak anda. Terdapat puluhan tema yang boleh dimuat turun secara percuma melalui aplikasi Themes. Akhir sekali kami turut menyedari segalanya lebih pantas pada Redmi Note 2 berbanding edisi tahun lalu. Jadi setakat ini kami menyukai segala penambahbaikan dari segi kelancaran peranti dan juga fungsi tambahan MIUI 7.
Seperkara lagi yang ingin kami sentuh ialah jumlah aplikasi terpasang pada MIUI7 juga adalah sedikit. Sekiranya anda benci peranti yang mempunyai banyak aplikasi terpasang, Redmi Note 2 adalah peranti yang harus memasuki senarai pendek anda.
Pemancar Infra Merah
Xiaomi menyertakan pemancar infra merah pada bahagian atas peranti. Kewujudan fungsi ini adalah menarik kerana semakin ramai pengeluar tidak lagi menyertakannya. Sebagai contoh Samsung Galaxy Note 5 tidak menyertakan sokongan pemancar infra merah sedangkan ianya disertakan pada Note 4. Aplikasi Mi Remote yang disertakan menyokong pelbagai peranti seperti televisyen, pendingin hawa, pemain DVD, kipas dinding dan juga dekoder satelit. Tetapi masalahnya ialah majoriti jenama yang disokong ialah jenama tanah besar China. Dekoder ASTRO dan HyppTV tidak disokong sama sekali. Kami hanya berjaya menggunakan Mi Remote pada televisyen Samsung. Mungkin pihak Xiaomi boleh memperbaiki aplikasi ini untuk pasaran Malaysia di masa hadapan.
Telefoni
Peranti menyokong rangkaian 4G da mempunyai slot untuk dua SIM bersaiz Mikro. Ini adalah berbeza dari Redmi Note 3G yang menyokong dua SIM bersaiz normal. Kedua-dua SIM boleh digunakan serentak dan tidak berkongsi slot yang sama untuk kad MikroSD. Kualiti panggilan menggunakan peranti adalah izhar halqi. Pembesar suara mono pada bahagian belakang pula adalah cukup lantang untuk penggunaan panggilan bebas tangan. Secara keseluruhan Redmi Note 2 adalah sebuah telefon yang baik.
Kamera
Kamera utama Redmi Note 2 ialah sebesar 13 Megapixel dengan sistem pemfokusan PDAF. Kamera hadapan pula ialah sebesar 5 Megapxel. Pada tetepan tertinggi 13 Megapixel, kamera utama mengambil gambar pada nisbah 4:3. Untuk gambar pada nisbah 16:9, resolusi akan diturunkan ke 10 Megapixel. Antaramuka aplikasi kamera peranti ini adalah minimalis dengan pilihan pratetapan yang terhad kepada enam sahaja
Jumlah pilihan pada skrin tetapan kamera juga agak sedikit. Sebagai contoh tiada pilihan menetapkan saiz gambar mengikut Megapixel. Hanya terdapat pilihan untuk mengubah nisbah gambar diambil dan tahap keperincian setiap gambar yang diambil. Mod manual disertakan turut dengan pilihan kawalan yang terhad. Resolusi tertinggi rakaman video ialah 1080P. Hanya terdapat dua pratetapan tambahan disediakan iaitu mod gerak perlahan dan gerak pantas.
Berikut adalah beberapa contoh gambar yang diambil menggunakan kamera peranti ini. Kami menyedari gambar yang diambil adalah sedikit gelap walaupun diambil di kawasan yang terang. Untuk menyelesaikan masalah ini kami menggunakan mod HDR yang disediakan. Gambar kini lebih terang namum masa yang diambil untuk mengambil gamba HDR adalah agak lama. Sistem pemfokusan PDAF yang digunakan adalah pantas dan pengatup kamera adalah amat responsif. Penghasilan warna adalah agak baik walaupun gambar diambil pada waktu malam.
Kami rasakan kualiti gambar yang diambil adalah baik bagi kamera 13 Megapixel. Seperti biasa kamera kelas pertengahan ini tidak mampu mengambil gambar setajam sebuah Galaxy S6. Tetapi untuk penggunaan seharian dan muat naik gambar ke media sosial, kamera Redmi Note 2 adalah lebih dari mencukupi.
Video
Berikut adalah contoh rakaman video yang kami ambil. Video yang diambil bergerak lancar dengan kualiti visual yang memuaskan. Namun tanpa sistem OIS, visual akan bergegar apabila pergerakan dilakukan. Video rakaman gerak perlahan juga lancar tetapi kualiti video maksimum ialah hanya pada tetapan 720P.
Penanda Aras
Pemproses MediaTek Helio X10 digunakan pengeluar bagi memberikan peranti kemampun memproses yang tinggi pada harga yang rendah. Dari markah penanda aras di bawah anda boleh lihat kemampuan memproses Redmi Note 2adalah agak baik jika dibandingkan dengan beberapa peranti lain yang dijual pada harga jauh lebih mahal. Ia berjaya mencatatkan 23234 markah dalam ujian Quadrant, 46406 markah dalam ujian Antutu dan 14516 markah dalam ujian Futuremark. HTC One M9+ adalah peranti yang menggunakan pemproses Helio X10 pada kelajuan 2.2 GHz. Anda boleh lihat sendiri perbezaan markah tidak berapa besar sedangkan phablet One M9+ dijual pada harga RM 2559. Jelas di sini bagi sebuah peranti mampu milik, Redmi Note 2 mempunyai kemampuan setanding peranti utama di pasaran.
Tiada masalah kami temui apabila menjalankan aplikasi. Tatalan adalah lancar dan aplikasi tidak terhenti secara tiba-tiba apabila digunakan. Namum begitu sesuai dengan nama Helio, peranti ini akan cepat menjadi panas seperti matahari apabila menjalankan aplikasi berat. Ini seterusnya membuatkan hayat penggunaan peranti menurun. Ia tidak menjadi terlalu panas sehingga tidak selesa dipegang kerana panel belakang yang diperbuat daripada plastik bukanlah konduktor haba yang baik.
Bateri
Ketahanan bateri ialah antara kriteria terpenting sebelum pembelian peranti dilakukan. Dengan bateri besaiz 3060 mAh sepatunya Redmi Note 2 mampu bertahan sepanjang hari. Namun pengguna cip MediaTek Helio X10 membuatkan ini mustahil dari berlaku. Helio X10 memang mempunyai kemampuan memproses yang tinggi tetapi ia juga menggunakan bateri dengan kadar yang amat pantas. Pada penggunaan berat peranti hanya mampu bertahan sekitar 6 jam dengan skrin terpasang hampir 4 jam. Pada penggunaan paling ringan ia bertahan selama 11 jam dengan skrin terpasang lebih kurang 3 jam. Ini adalah jauh dari purata ketahanan bateri peranti-peranti lain yang kamu ulas sebelum ini. Kelemahan paling nyata Redmi Note 2 ialah ketahanan bateri yang sangat mengecewakan.
Pesaing
Mari bandingkan spesifikasi Redmi Note 2 dengan dua lagi phablet mampu milik yang dijual di pasaran Malaysia. Asus Zenfone 2 ZE551ML memasuki pasaran Jun lalu manakala Meizu M2 Note sejak Julai yang lalu. Jelas kelihatan walaupun harga Redmi Note 2 adalah mampu milik, spesifikasinya hampir menyaingi peranti kelas utama.
Peranti Utama | ||
---|---|---|
Xiaomi Redmi Note 2 | Asus Zenfone 2 ZE551ML | Meizu M2 Note |
5.5″ IPS LCD FHD (403 ppi) | 5.5″ IPS LCD FHD (403 PPI) | 5.5″ IGZO FHD (403 PPI) |
2.0 GHz Lapan Teras MediaTek Helio X10 | 2.3 GHz Empat Teras Intel Atom Z3580 | 1.3 x Lapan Teras MediaTek MT6753 |
PowerVR G6200 | PowerVR G6430 | Mali-T720MP3 |
2 Gigabyte | 4 Gigabyte | 2 Gigabyte |
16 Gigabyte (MiroSD 32 GB) | 32 Gigabyte (MikroSD 64 GB) | 16 Gigabyte (MikroSD 128 GB) |
Kamera Utama 13 Megapixel f/2.2 | Kamera Utama 13 Megapixel | Kamera Utama 13 Megapixel |
Kamera Hadapan 5 Megapixel f/2.0 | Kamera Hadapan 5 Megapixel | Kamera Hadapan 5 Megapixel |
3060 mAh (Boleh dibuka) | 3000 mAh (Tidak boleh dibuka) |
3100 mAh (Tidak boleh dibuka) |
RM 649 | RM 1099 | RM 799 |
Kesimpulan
Perlukah anda berbelanja besar untuk mendapatkan sebuah peranti mudah alih yang baik? Jika soalan ini ditanyakan lima tahun yang lalu jawapannya adalah tidak. Kita bernasib baik kerana kini hidup di dalam dunia pasca PC dan harga peranti pintar sudah jatuh dengan mendadak sejak diperkenalkan pada tahun 2007. Xiaomi Redmi Note 2 adalah peranti yang dijual pada harga mampu milik tetapi mampu bersaing dengan beberapa peranti utama yang kami ulas tahun ini.
Pemproses yang digunakan adalah berkemampuan tinggi dan dapat menjalankan kesemua aplikasi dengan pantas. Ia dipadankan dengan antaramuka MIUI 7 yang bukan sahaja kelihatan cantik tetapi berfungsi dengan cukup pantas. Pelbagai fungsi tambahan seperti kustomasi tema membuatkannya antara antaramuka pihak ketiga yang paling kami gemari. Ia mungkin peranti dari tanah besar China tetapi estetik rekaannya jauh berbeza dari apa yang digunakan oleh pengeluar peranti dari China yang lain.
Jadi mengapa ianya dijual pada harga yang tidak masuk akal? Pertama sekali ialah bahan binaannya yang diperbuat daripada plastik. Ianya mungkin sudah ketinggalan tetapi harus kami akui ianya masih sangat selesa di pegang. Kemasan plastik Redmi Note 2 adalah sedikit kasar dan menyelesaikan masalah panel belakang yang licin Redmi Note 3G dan 4G sebelum ini.
Kemampuan kamera adalah baik bagi sebuah peranti mampu milik. Penghasilan warna adalah bagus tanpa masalah kekuningan yang sering dilihat pada peranti kelas pertengahan. Gambar mungkin sedikit gelap dan tidak setajam yang diambil pada peranti utama seperti Galaxy S6. Masalah yang boleh kami katakan wujud ialah mengambil gambar di dalam mod HDR mengambil masa yang agak lama. Tetapi jika dibandingkan dengan peranti lain dengan kamera 13 Megapixel, kami rasakan Redmi Note 2 adalah yang terbaik di dalam kelasnya.
Kelemahan paling ketara bagi kami ialah hayat bateri yang agak teruk. Pada penggunaan paling berat ia hanya mampu bertahan selama 6 jam. Jika anda mahu memiliki peranti ini dari Xiaomi, jangan lupa memesan Mi Power Bank. Anda akan memerlukannya. Kebarangkalian untuk ianya bertahan sepanjang hari adalah rendah.
Pada harga jualan RM 649 kami rasakan Redmi Note 2 adalah peranti yang memberikan nilai kepada wang ringgit terbaik tahun ini. Walalupun ianya peranti murah, kami rasakan ia berfungsi seperti sebuah peranti utama dengan harga jualan melebihi RM2000. Kami sarankan pembelian peranti ini asalkan anda tidak kisah perlu membawa power bank apabila keluar dari rumah.
PRO dan Kelebihan
- Kemasan plastik namun masih selesa dipegang serta kelihatan kemas.
- MIUI 7 adalah antaramuka yang kemas dan cantik. Mempunyai banyak fungsi tambahan dan kustomasi.
- Berfungsi dengan lancar dan pantas. Tiada masalah sela masa.
- Kemampuan memproses yang agak tinggi. Mampu menjalankan pelbagai aplikasi berat tanpa masalah.
- Dwi-SIM dan slot MikroSD tidak berkongsi slot. Tiada masalah tidak dapat menggunakan dua SIM serentak apabila ingin menambah memori dalaman peranti.
KONTRA dan Kekurangan
- Hayat penggunaan bateri yang pendek. Pemproses Helio X10 memang terkenal dengan kemampuan menghabiskan bateri dengan pantas.
- Tiada sokongan NFC
- Aplikasi alat kawalan jauh tidak menyokong dekoder Astro. Senarai alat elektronik yang disokong lebih mesra negara China dan bukannya Malaysia.
Banyak lagi menarik FB kami
http://ift.tt/14Mtwjx
via Sembang Maniac
0 Komentar untuk "Ulasan Xiaomi Redmi Note 2 – Phablet Mampu Milik Paling Berbaloi 2015"