Minggu hadapan Samsung Galaxy Note 5 akan dilancarkan untuk pasaran Malaysia. Sejak dilancarkan pada tahun 2011, peranti keluarga Galaxy Note kekal sebagai phablet dengan stylus terbaik di pasaran. Pelbagai peranti lain cuba menggulingkan Galaxy Note dari takhta ini tetapi kesemuanya gagal. Apabila melihat sejarah Galaxy Note adalah menarik melihat sebuah peranti yang pernah dikatakan terlalu besar dan hanya gimik mengubah landskap peranti pintar. Skrin 5.3″ Galaxy Note asal yang dulu dianggap gergasi kini menjadi saiz yang boleh dianggap biasa bagi sebuah peranti Android. Mari kita lihat evolusi peranti keluarga Galaxy Note dari 2011 sehingga 2015.
Galaxy Galaxy Note
Samsung Galaxy Note | |
---|---|
Skrin | 5.3″ SAMOLED (800×1280 pixel) |
Pemproses | 1.4 GHz Dua Teras Exynos 4230 |
RAM | 1 Gigabyte |
Muatan Dalaman | 16/32 Gigabyte (MikroSD sehingga 64 GB) |
Kamera Utama | 8 MP (1080P) |
Kamera Depan | 2 MP |
Bateri | 2500 mAh |
SIM/Telefoni | Mini SIM/3G |
Mungkin ramai yang mengatakan Samsung Galaxy Note adalah peranti Android pertama dengan skrin gergasi dan memulakan revolusi phablet. Ini adalah kurang tepang kerana Dell Streak muncul terlebih dahulu pada Mei 2010. Dell Streak mempunyai skrin sebesar 5″ dan menggunakan sistem operasi Android Donut. Streak boleh diberikan anugerah bapa peranti Android berskrin besar. Samsung mula berjinak dengan peranti berskin besar dengan Samsung Galaxy Player 5 yang dilancarkan pada hujung 2010. Tetapi Galaxy Note yang dilancarkan setahun kemudian adalah peranti “phablet” pertama yang menerima sambutan menggalakkan dari pengguna. Dengan skrin 5.3″ peranti ini pada awalnya ditertawakan kerana “terlalu besar”. Sytlus terbina berteknologi Wacom pula dikatakan “ketinggalan zaman”. Tetapi pelbagai fungsi unik yang diperkenalkan membezakan Note dari peranti pintar yang wujud pada ketika itu.
Sejak dari awal pengguna dari Asia menunjukkan minta yang lebih tinggi kepada peranti dengan skrin besar. Pengguna di Amerika Utara dan Barat masih selesa dengan peranti dengan skrin di bawah 4″. Pengguna di Asia berpegang kepada moto “lebih besar lebih bagus”. Ketika dilancarkan Galaxy Note menggunakan Android Gingerbread dan sokongan rasmi adalah sehingga Android Jelly Bean. Peranti ini memasuki pasaran Malaysia pada tahun November 2011 dan dijual pada harga RM2299. Lebih dari 10 Juta peranti ini terjual dan sambutan yang amat menggalakkan ini menjadi titik tolak penghasilan peranti dengan skrin lebih besar.
Samsung Galaxy Note adalah antara peranti paling awal yang berjaya kami ulas di Amanz.My. Anda boleh membaca ulasan Samsung Galaxy Note kami disini.
- Mempunyai stylus teknologi Wacom untuk lakaran lebih tepat
- Premium Suite – Pelbagai aplikasi yang direka khas untuk berfungsi dengan S Pen.
- Peranti yang mempopularkan penggunaan skrin besar
Samsung Galaxy Note 2
Samsung Galaxy Note 2 | |
---|---|
Skrin | 5.5″ SAMOLED 720P |
Pemproses | 1.6 GHz Exynos 3 |
RAM | 2 Gigabyte |
Muatan Dalaman | 16/32/64 Gigabyte (MikroSD sehingga 64 GB) |
Kamera Utama | 8 MP (1080P) |
Kamera Depan | 2 MP |
Bateri | 3100 mAh |
SIM/Telefoni | Mikro SIM/3G |
Samsung Galaxy Note 2 muncul pada Ogos 2012. Kali ini skrin peranti dibesarkan lagi kepada 5.5″ dengan resolusi 720P. Kali ini skrin mempunyai nisbah skrin 16:9 dan bukan lagi 4:3 seperti pada Note asal.
Dengan skrin yang lebih besar Samsung memperkenalkan sebuah lagi fungsi baru iaitu Multi Window. Fungsi ini membolehkan dua aplikasi berkongsi satu skrin. Ini mempercepatkan proses melakukan tugasan. Selain daripada itu fungsi Air View turut diperkenalkan. Pengguna dalam melihat kandungan folder dengan meletakkan stylus di atas ikon tanpa menyentuh skrin. Peranti juga secara automatik mengesan S Pen telah dikeluarkan dari tempat simpanan dan segera melancarkan Pop Up Note untuk digunakan.Dari segi spesifikasi perubahan paling ketara ialah pemproses kini berubah kepada empat teras dan RAM juga bertambah sekali ganda kepada 2 Gigabyte.
Ketika dilancarkan ia menggunakan Android Jelly Bean dan sokongan rasmi berakhir dengan Android Kit Kat. Samsung Galaxy Note 2 dilancarkan di Malaysia pada 19 Oktober 2012 dan dijual pda harga RM 2299.
- Skrin 5.5″ mempunyai nisbah 16:9 dan bukan lagi 4:3.
- Pengenalan fungsi Multi Window dan Air View.
- Sistem automatik mengesan S Pen dikeluarkan dan Pop Up Note dilancarkan secara automatik.
Samsung Galaxy Note 3
Samsung Galaxy Note 3 | |
---|---|
Skrin | 5.7″ SAMOLED FHD |
Pemproses | 2.3 GHz Empat Teras Snapdragon 800 |
RAM | 3 Gigabyte |
Muatan Dalaman | 16/32/64 Gigabyte (MikroSD sehingga 64 GB) |
Kamera Utama | 13 MP (4K) |
Kamera Depan | 2 MP |
Bateri | 3200 mAh |
SIM/Telefoni | Mikro SIM/3G |
Evolusi diteruskan dengan Samsung Galaxy Note 3. Sekali lagi skrin dibesarkan kepada 5.7″ dengan resolusi HD penuh. Kamera utama sebesar 13 Megapixel mampu merakam video pada resolusi 4K dan menjadikannya antara peranti mudah alih yang merintis fungsi ini. Dari segi rekaan pula peranti kini lebih bersegi dan mempunyai kemasan seakan kulit pada panel belakang lengkap dengan jahitan palsu. RAM dipertingkatkan kepada 3 Gigabyte bagi melancarkan lagi operasi. Perkara paling unik mengenai Note 3 ialah penggunaan port USB 3.0 buat kali pertama dan terakhir. Port USB 3.0 digunakan bagi memudahkan pemindahan fail bersaiz besar seperti video 4K dengan lebih pantas.
Fungsi baru yang diperkenalkan ialah Air Command, Action Memo, Scrapbook dan Easy Clip. Multi Window kini semakin berguna dengan kemampuan melakukan aksi drag&drop di antara 2 aplikasi yang dipaparkan pada skrin. Stylus pula kini boleh digunakan untuk menekan butang navigasi kapasitif pada dagu peranti. Pemancar infra merah turut disertakan bagi menggunakan peranti sebagai alat kawalan jauh. Akhir sekali ialah fungsi All Screen Use yang membolehkan paparan skrin dikecilkan kepada 4″ bagi memudahkan operasi sebelah tangan.
Note 3 dilancarkan menggunakan Android Jelly Bean dan sokongan rasmi adalah sehingga Android Lollipop. Ia mula dijual di pasaran Malaysia pada 20 Seprtember 2013 pada harga 2399.
- Air Command, Action Memo, Scrapbook Dan Easy Clip.
- Stylus boleh digunakan untuk menekan butang navigasi kapasitif di bawah skrin.
- Multi Window menyokong fungsi drag & drop antara aplikasi.
- Sokongan rakaman video 4K
- All Screen Use – paparan skrin boleh dikecilkan untuk penggunaan sebelah tangan.
- Pemancar infra merah.
- Port USB 3.0 digunakan
Samsung Galaxy Note 4
Samsung Galaxy Note 4 | |
---|---|
Skrin | 5.7″ SAMOLED QHD |
Pemproses | Exynos Octacore 5433 (1.9 +1.3 GHz) |
RAM | 3 Gigabyte |
Muatan Dalaman | 32 Gigabyte (MikroSD sehingga 128 GB) |
Kamera Utama | 16 MP OIS (4K) |
Kamera Depan | 3.7 MP |
Bateri | 3220 mAh (Pengecasan Pantas) |
SIM/Telefoni | Mikro SIM/4G |
Dari segi perubahan rekaan, Samsung Galaxy Note 4 tidak mengalami perubahan yang drastik seperti Note 2 ke Note 3. Rekaan kulit palsu pada panel belakang dikekalkan dan skrin masih lagi sebesar 5.7″. Bezanya kali ini skrin SAMOLED yang digunakan menyokong resolusi QHD.
Pemproses kini mempunyai lapan teras tetapi RAM masih lagi 3 Gigabyte. Fungsi baru yang diperkenalkan ialah Pop Up Window yang membolehkan tetingkap kecil aplikasi terapung di atas skrin. Apabila dikecilkan lagi ia akan berubah menjadi ikon bulat. Lebih daripada satu tetingkap ini boleh dibuka serentak sekaligus menambahkan pilihan untuk melakukan pelbagai kerja serentak. Kamera juga akhirnya mempunyai sokongan OIS bagi memberikan rakaman video yang lebih stabil. Bateri kini boleh dicas lebih pantas dengan fungsi Adaptive Charging Samsung. Akhir sekali terdapat pengimbas nadi pada bahagian belakang peranti dan pengimbas cap jari pada butang home.
Ia dilancarkan dengan Android Kit Kat dan sokongan rasmi adalah sehingga Android Lollipop. Note 4 adalah peranti yang disahkan akan menerima kemas kini Android M sebelum hujung 2015 ini. Ia mula dijual di Malaysia pada 15 Oktober 2014 dan dijual pada harga RM2499.
- Pemproses lapan teras
- Skrin Quad HD
- Pop Up Window baharu. Lebih daripada satu tetingkap kecil yang boleh “terapung” pada skrin serentak.
- Pengimbas nadi dan jari terbina.
- Kamera mempunyai sokongan OIS.
- Fungsi Wide Selfie pada kamera hadapan.
- Pengecasan pantas.
Samsung Galaxy Note Edge
Samsung Galaxy Note Edge | |
---|---|
Skrin | 5.6″ SAMOLED QHD |
Pemproses | 2.7 GHz 4 Teras Snapdragon 805 |
RAM | 3 Gigabyte |
Muatan Dalaman | 32/64 Gigabyte (MikroSD sehingga 128 GB) |
Kamera Utama | 16 MP OIS (4K) |
Kamera Depan | 3.7 MP |
Bateri | 3000 mAh (Pengecasan pantas) |
SIM/Telefoni | Mikro SIM/4G |
Samsung Galaxy Note Edge dilancarkan serentak dengan Note 4. Sungguhpun begitu ia mempunyai beberapa perbezaan dari segi spesifikasi dan rekabentuk. Note Edge adalah peranti pertama di dunia yang mempunyai skrin sisi. Skrin ini merealisasikan beberapa paten yang difailkan oleh Samsung beberapa tahun sebelum Note Edge dilancarkan. Skrin sisi ini digunakan untuk memaparkan pintasan aplikasi, individu penting, aplikasi yang berjalan dan juga alat ukuran (pembaris dan jam randik). Apabila dilancarkan ia menerima pelbagai reaksi menarik kerana rekabentuknya yang lain dari yang lain. Sungguhpun begitu terdapat juga reaksi negatif kerana ia tidak mesra pengguna bertangan kidal.
Kesemua fungsi yang wujud pada Note 4 hadir pada Note Edge. Aneh sekali fungsi skrin sisi yang diperkenalkan pada Note Edge ini kemudiannya tidak digunakan pada Galaxy S6 Edge yang hadir pada April 2015.
Ia dilancarkan dengan Android Kit Kat dan sokongan rasmi adalah sehingga Android Lollipop. Note Edge adalah peranti yang disahkan akan menerima kemas kini Android M sebelum hujung 2015 ini. Ia mula dijual di Malaysia pada 9 Februari 2015 dan dijual pada harga RM2999.
- Peranti dengan skrin sisi pertama dunia.
- Fungsi Edge Screen, Quick Tools & Express Me pada skrin sisi.
Samsung Galaxy Note 5
Samsung Galaxy Note 5 | |
---|---|
Skrin | 5.7″ AMOLED QHD |
Pemproses | Exynos 7420 Octacore (2.1 + 1.5 GHz) |
RAM | 4 Gigabyte |
Muatan Dalaman | 32/64 Gigabyte |
Kamera Utama | 16 MP OIS f/1.9 |
Kamera Depan | 5 MP f/1.9 |
Bateri | 3000 mAh (Pengecasan Pantas) |
SIM/Telefoni | Nano SIM/LTE |
Dengan pelancarannya secara rasmi 13 Ogos yang lalu Galaxy Note 5 memasuki era baru. Tiada lagi sokongan bateri yang boleh ditanggalkan dan juga slot untuk kad MikroSD. Ini adalah fungsi yang sudah wujud sejak Note generasi pertama. Note 5 mengambil ciri-ciri rekaan Galaxy S6 dengan panel kaca depan dan belakang. Spesifikasinya juga sama dengan sebuah S6 dengan penambahan memori kepada sebesar 4 Gigabyte.
Pembaharuan yang dilakukan ialah S Pen kini mempunyai mekanisme spring yang mengunci peranti di dalam tempat simpanannya. Apabila diperlukan tekan hujung S Pen dan ia akan mudah ditarik keluar. Tidak banyak fungsi baru diperkenalkan kali ini. Pembaharuan dilakukan pada rekaan Air Command. Tetapi fungsi baru yang diperkenalkan adalah yang paling diinginkan pengguna selama ini iaitu kemampuan melakar nota pantas pada skrin tanpa skrin perlu diaktifkan. Samsung Galaxy Note 5 juga adalah peranti pertama di dunia yang menyokong pengecasan pantas tanpa wayar. Peranti boleh dicas sepenuhnya dalam masa 90 minit.
Ia dilancarkan dengan menggunakan Android 5.1 dan akan menerima kemas kini Android M dalam masa terdekat. Ia memasuki pasaran Malaysia pada 3 September akan datang dengan harga jualan RM 2699.
- Rekaan sepenuhnya logam dan kaca.
- Tiada lagi sokongan kad MikroSD dan bateri yang boleh ditanggalkan
- Teknologi pengecasan bateri pantas tanpa wayar
- S Pen dengan sistem lonjakan spring.
- RAM sebesar 4 Gigabyte.
Kesimpulan
Pada awal kemunculannya Samsung Galaxy Note menjadi bahan ketawa beberapa laman teknologi terkemuka dunia. “Ianya terlalu besar!”, “sukar dimasukkan ke dalam poket” dan “kelakar untuk digunakan” adalah tiga alasan yang diberikan mengapa Note adalah produk yang sia-sia. Lima iterasi selepas itu rekaan skrin besar Note kini menjadi ikutan dan syarikat ternama dari Cupertino sendiri kini menelan semula ludah yang dihambur selepas menghasilkan iPhablet mereka tahun lalu. Tahun demi tahun rekaan Note diubah dan pelbagai fungsi ditambah. Tahun demi tahun peranti phablet baru memasuki pasaran dan masih belum ada yang menawarkan fungsi ataupun rekaan yang setanding raja phablet iaitu Galaxy Note. Persoalannya sekarang dengan lambakan peranti dengan skrin sebesar (dan lebih besar), adakah Galaxy Note akan terus kekal sebagai phablet terbaik di pasaran? Masih adakah pasaran untuk phablet dengan stylus? Jawapannya hanya akan diketahui tahun hadapan.
Banyak lagi menarik FB kami
http://ift.tt/14Mtwjx
via Sembang Maniac
0 Komentar untuk "Evolusi Peranti – Samsung Galaxy Note"