Sembang Maniac

Sembang-sembang je

Salahkah Lelaki Jadi Doktor Pakar Sakit Puan?






WANITA mengandung kebiasaannya berdepan pelbagai masalah seperti mual dan pening kepala akibat perubahan hormon pada awal waktu kehamilan.



Bagi wanita yang mengandung anak pertama, perkara ini tentunya tidak mudah untuk dilalui, selain memikirkan fasa kehamilan sehingga saat melahirkan cahaya mata.



Dalam keadaan itu, perkara pertama ialah membuat pemeriksaan dan rawatan dengan pakar sakit puan untuk memastikan semuanya berada dalam keadaan selamat.



Sejak zaman-berzaman, doktor atau pakar dalam bidang perbidanan diceburi oleh lelaki dan wanita. Bagaimanapun, sejak kebelakangan ini, ramai lelaki memilih bidang ini sebagai kerjaya mereka.



Itulah hakikatnya dalam dunia perubatan. Meskipun bagi pesakit wanita mereka boleh memilih doktor daripada gender yang sama kerana lebih selesa, tidak malu dan tiada batasan dari segi aurat, tetapi ada kalanya mereka tidak dapat mengelak dan terpaksa memilih doktor lelaki.



Pakar sakit puan perlu memeriksa, merawat dan menyambut kelahiran bayi kerana itu adalah bidang tugas mereka.



Sejauh mana dilema pakar sakit puan ini? Bagaimana kesanggupan pesakit wanita memilih pakar sakit puan lelaki dan pandangan orang ramai terhadap tugas berkenaan?

.

Tugas profesional



Pegawai Perubatan Kecemasan dan Trauma Hospital Lahad Datu, Sabah, Dr Muhammad Na'im Abdul Razak, berkata orang ramai tidak seharusnya bersifat negatif kerana kerjaya doktor adalah profesional dan fokus mereka untuk menyelamatkan nyawa pesakit.



Katanya, semua penyakit perlu dirawat dan memerlukan doktor termasuk ibu mengandung yang mempunyai risiko tinggi dan berhadapan dengan pelbagai kompilasi ketika melahirkan.



"Khidmat doktor amat penting. Doktor sakit puan bukan hanya berdepan dengan kelahiran bayi, malah berhadapan dengan kes pendarahan, kemaluan dijangkiti kuman dan pelbagai lagi.



"Memang kita perlu memeriksa keseluruhan tubuh wanita. Kami prihatin dari segi aurat, tetapi itu adalah tugas kami. Ketika pemeriksaan kita ada jururawat perempuan membantu melancarkan rawatan. Malah, lazimnya pesakit akan ditemani suami masing-masing.



"Keadaan pesakit memang sukar diramal kerana berdepan pelbagai risiko," katanya.



Berunding dengan keluarga



Dr Muhammad Na'im berkata, sekiranya ia berisiko dan keadaan menjadi cemas, doktor yang bertugas pada waktu itu tidak kira lelaki atau wanita akan mengambil alih tugas bagi tujuan menyelamatkan nyawa pesakit dan bayi.



"Bagi sesetengah kes yang berisiko tinggi, kami akan berunding dengan ahli keluarga. Sekiranya tiada doktor pakar wanita pada ketika itu, kita akan beri penerangan kepada keluarga pesakit supaya mereka memahami keadaan," katanya.



Tidak wajar dipertikaikan



Perkara ini tidak hanya tertumpu ketika memberi perkhidmatan di Unit Obstetrik & Ginekologi (O&G) saja, malah semua jenis penyakit yang urusan rawatannya dikendalikan oleh doktor tanpa atas batasan jantina.



Doktor Sakit Puan Hospital Lahad Datu, Sabah, Dr Syahrul Azwan Azhari, berkata isu jantina bagi pakar perubatan memang sering dibicarakan kerana bukan semua pesakit selesa mendapatkan rawatan daripada doktor yang berlainan jantina dengan mereka.



KETUA Jabatan Pendidikan Perubatan, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Prof Madya Dr Harlina Halizah Siraj.



"Pekerjaan sebagai doktor ini adalah satu tanggungjawab berat, kami berkhidmat untuk merawat pesakit tanpa ada sebarang niat sebaliknya.



"Lelaki dan wanita kedua-duanya diperlukan di dalam bidang ini kerana mempunyai peranan tersendiri. Saya memilih bidang perbidanan ini kerana ia berbeza dengan unit yang lain. Niat saya untuk membantu ibu dan anak. Jadi tidak wajar ada yang mempertikaikan mengenainya .



"Apabila kami menerima pesakit, kita membuat pemeriksaan mengikut prosedur. Jika tidak ada keperluan untuk memeriksa badan pesakit khususnya di bahagian sulit atau mana-mana bahagian yang sensitif kepada wanita, kita tidak akan lakukan," katanya.



Beliau berkata, semua doktor sudah lali tugas masing-masing kerana kerjaya itu adalah satu ibadat iaitu membantu orang yang sakit dan menyelamatkan nyawa mereka.



Dr Syahrul berkata, doktor lelaki sebenarnya lebih prihatin kerana kesakitan yang dideritai wanita ketika bersalin tidak pernah mereka alami.



"Sakit ketika bersalin sesuatu yang kami tidak dapat bayangkan. Jadi, kami amat menitikberatkan keadaan pesakit. Dari situ juga kami dapat belajar banyak perkara mengenai emosi dan keadaan pesakit," katanya.



Bidang berkemahiran tinggi



Ketua Jabatan Pendidikan Perubatan, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Prof Madya Dr Harlina Halizah Siraj, pula berpendapat tanggapan bahawa profesion perbidanan yang dilakukan oleh doktor lelaki sebagai aktiviti pornografi bersifat penghinaan kepada mereka.



Katanya, bidang itu tidak mampu dilakukan tanpa kemahiran dan kepakaran serta lebih penting adalah untuk merawat pesakit sembuh seperti biasa.



"Bagi kerjaya perbidanan doktor yang mengendalikan prosedur ini perlu dilatih dan mempunyai kepakaran yang tinggi kerana ini membabitkan nyawa manusia.



"Kematian ketika bersalin jarang direkodkan di negara ini kerana kita mempunyai kemudahan dan kepakaran tinggi. Bagaimanapun, sekiranya doktor O&G lelaki melakukan pekerjaan itu sebagai hiburan dan bahan pornografi untuk mereka, saya menganggap ia sebagai satu penghinaan," katanya.



Jangan disalah tafsirkan



Dr Harlina Halizah yang juga pakar O&G PPUKM, berkata prosedur memeriksa pesakit tidak hanya membabitkan doktor dan pesakit saja, tetapi doktor turut ditemani jururawat, mentor atau pembimbing.



Katanya, ia bukan saja bertujuan membantu atau membimbing doktor bertugas, malah bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.



"Sekiranya pesakit mempunyai pengalaman diganggu doktor lelaki atau gangguan seksual, mereka dinasihatkan membuat laporan kepada Majlis Perubatan Malaysia.



"Mereka juga harus mengemukakan segala bukti bagi mendakwa doktor terbabit supaya tindakan sewajarnya diambil.



"Pekerjaan ini adalah satu kerja mulia dan saya yakin semua doktor bertauliah melakukan tugasan dengan profesional dan tidak seharusnya disalah tafsirkan," katanya.



ORANG ramai tidak seharusnya bersifat negatif terhadap kerjaya doktor perbidanan.



Kagum kepakaran doktor



Sementara itu, suri rumah, Zaiton Abdul Rahman, 51, berkata kemahiran dan kepakaran doktor sakit puan tidak kira lelaki atau wanita amat dikagumi.



Katanya, tiga daripada enam anaknya menggunakan khidmat doktor lelaki dan beliau tidak mengalami sebarang masalah sepanjang berurusan dengannya.



"Memang benar kita perlu dahulukan hukum, namun waktu itu tiada doktor wanita yang bertugas. Jadi, doktor lelaki yang menguruskan kelahiran anak saya.



"Jika saya boleh bandingkan perbezaan antara doktor lelaki dan wanita, bagi saya doktor lelaki lebih prihatin dan teliti melakukan tugas. Namun, itu cuma pandangan saya saja," katanya sambil memaklumkan tiga daripada enam anaknya disambut oleh doktor lelaki yang sama.



Zaiton berkata, masyarakat juga tidak sepatutnya memandang negatif kerjaya pakar sakit puan kerana itu adalah tugas yang penting dalam dunia perubatan.



Bantu selamatkan pesakit



Hukum perubatan dari sudut agama sangat luas, namun dalam kes perbidanan ini sudah dikelaskan kepada beberapa bahagian mengikut syariat Islam.



Pengerusi Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan, Prof Emeritus Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin, berkata keadaan wanita bersalin terbahagi kepada dua bahagian iaitu situasi biasa dan kecemasan.



Katanya, dalam keadaan wanita yang normal dan tidak menghadapi sebarang komplikasi, mereka seharusnya mengutamakan doktor wanita beragama Islam untuk menyambut bayi terbabit.



"Rawatan berkenaan membabitkan aurat. Pesakit perlu memberi keutamaan memilih doktor wanita Islam dan jika tidak ada, perlu mendapatkan doktor wanita bukan Islam.



"Bagaimanapun, jika kedua-duanya tidak ada, barulah cari doktor lelaki untuk mendapatkan rawatan mereka," katanya.



Tiada batasan gender



Beliau berkata, kerjaya dalam bidang sakit puan boleh dilakukan oleh sesiapa saja tanpa batasan gender kerana ia dianggap Fardu Kifayah.



"Tiada masalah bagi doktor lelaki mendalami ilmu dalam bidang ini kerana keperluannya adalah untuk membantu dan menyelamatkan pesakit.



"Jika dalam keadaan darurat, sesiapa saja diharuskan membantu wanita yang dalam keadaan kesakitan dengan tujuan untuk menjaga keselamatan dan kesejahteraan pesakit," katanya.





Banyak lagi menarik FB kami



http://ift.tt/14Mtwjx

via Sembang Maniac
0 Komentar untuk "Salahkah Lelaki Jadi Doktor Pakar Sakit Puan?"

 
Copyright © 2014 Sembang Maniac - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info