Sembang Maniac

Sembang-sembang je

Ulasan – Elysium Iron Mini – Pembesar Suara Kecil Dengan Bunyi Yang Menggemparkan

Pembesar suara bersaiz kecil nampaknya semakin popular kebelakangan ini, dengan jenama-jenama seperti JBL, Logitech dan sebagainya hadir dengan peranti-peranti pembesar suara mereka, dan walaupun kebanyakannya hadir dengan kualiti audio dan ciri-ciri yang menarik, harga jualan peranti-peranti tersebut cukup mahal untuk membuatkan dompet anda berlubang untuk satu jangka-masa yang cukup lama.

Elysium, sebuah jenama elektronik dibawah Leapfrog, syarikat sama yang membawa anda Edifier, SonicGear, Armaggeddon dan sebagainya kini hadir dengan sebuah pembesar suara bersaiz kecil yang pada pendapat kami, hadir dengan kualiti audio yang cukup baik sekali pada harga yang agak berpatutan.

Memperkenalkan Elysium Iron Mini.

Spesifikasi Dan Rekaan

Bermula dengan rekaan pembesar suara Iron Mini ini, Elysium membuakkan rasa nostalgia orang ramai dengan membuatkan pembesar suara ini hadir dengan rekaan radio klasik ala 70-80an yang hadir dengan jeriji berwarna kroma.

Menurut Elysium, pembesar suara ini hadir dengan empat jenis warna yang berbeza, termasuklah putih, merah, hitam dan juga hijau. Warna-warna ini semuanya kelihatan cukup klasik dan menarik sekali.

Dari segi spesifikasi, Iron Mini ini mempunyai dua driver 52mm 10W yang mengeluarkan bunyi yang cukup merdu sekali. Ia mempunyai empat butang di bahagian atas pembesar suara tersebut, termasuklah butang kuasa, butang Bluetooth/Play & Pause dan juga dua butang yang digunakan untuk mengawal tahap bunyi. Terdapat juga punat yang boleh digunakan untuk mencari stesen radio FM apabila pembesar suara ini digunakan didalam mod radio.

Di bahagian belakang pembesar suara ini pula dua port, iaitu port pengecasan micro-USB dan juga port 3..5mm yang boleh digunakan untuk menyambungkan peranti anda kepada pembesar suara ini menggunakan kabel audio yang biasa.

Bahagian belakang Iron Mini ini juga merumahkan sebuah subwoofer yang memastikan audio yang keluar daripada pembesar suara ini hadir dengan bass yang cukup kuat.

Apa yang kami suka mengenai rekaan Iron Mini ini ialah bukan sahaja rekaan retronya yang menarik, tetapi juga kuali binaan pembesar suara ini, yang bukan sahaja mempunyai warna dan rupa yang cukup menarik, tetapi juga rekaan keseluruhan yang berkualiti tinggi, terutama sekali butang-butang dan tombol yang hadir pada pembesar suara ini.

Tapak bergetah yang hadir pada bahagian Iron Mini ini juga berfungsi sebagai penyerap getaran, dan ini memastikan bahawa kualiti bunyi tidak terjejas oleh getaran yang hadir daripada driver dan subwoofer yang mengalir ke rangka pembesar suara ini.

Ciri-Ciri Dan Fungsi

Pembesar suara Elysium Iron Mini ini menggabungkan estetik zaman 70-80an dengan teknologi zaman moden, dan hadir dengan ciri-ciri yang membolehkannya digunakan dengan pelbagai cara yang cukup menarik.

Iron Mini ini hadir dengan tiga mod, termasuklah mod Bluetooth, mod radio dan juga mod AUX. Mod Bluetooth membolehkan pengguna menyambungkan peranti-peranti mereka ke pembesar suara ini melalui sambungan Bluetooth, termasuklah laptop, peranti pintar dan sebagainya.

Oleh kerana Iron Mini ini menggunakan sambungan Bluetooth 4.2, diantara perkara yang paling saya suka mengenai pembesar suara ini ialah sabungan Bluetooth ini menggunakan kuasa yang cukup sedikit dari kedua-dua belah peranti.

Mod kedua pula ialah mod AUX, dimana anda boleh menyambungkan seutas kabel audio 3.5mm diantara Iron Mini ini dan peranti anda. Dari segi penggunaan tenaga pula, Iron Mini ini masih boleh digunakan selama enam hingga tujuh jam dengan satu pengecasan penuh.

Mod ketiga, iaitu mod radio pula membolehkan Iron Mini ini digunakan sebagai sebuah radio mudah-alih, Dengan menggunakan tombol di bahagian atas pembesar suara ini, anda boleh memilih stesen radio anda secara manual, sama seperti apa yang dilakukan pada zaman 70-80 an dahulu.

Untuk mengubah mod, anda hanya perlu menekan butang kuasa tersebut sekali, dan ia akan berubah dari mod Bluetooth ke mod radio dan AUX. Setiap mod ini dapat dilihat melalui lampu LED yang hadir di bahagian atas pembesar suara ini. Biru melambangkan mod Bluetooth, hijau melambangkan mod radio dan oren pula melambangkan mod AUX.

Dari segi bateri pula, Iron Mini ini mampu bertahan selama lima ke enam jam dengan satu pengecasan penuh, dan ini konsisten tidak kira anda menggunakannya dalam mod Bluetooth, AUX ataupun radio. Dari segi pengecasan pula, bateri sebesar 2000mAH pembesar suara ini boleh dicas dengan penuh dari kosong hingga penuh dalam masa empat jam dengan kabel micro-USB.

Pengalaman Pengguna

Pembesar suara Iron Mini ini cukup mudah digunakan, dan hadir dengan kertas manual yang menunjukkan cara-cara untuk menggunakan peranti ini yang cukup komprehensif sekali.

Menyambung peranti-peranti kami kepada pembesar suara Iron Mini ini juga cukup mudah kerana ia menyokong sambungan Bluetooth 4.2 yang menyambungkan kedua-dua peranti ini dengan pantas.

Sepanjang beberapa minggu kami menggunakan pembesar suara Elysium Iron Mini ini, kami kagum dengan kualiti audio peranti ini, kerana walaupun ia bersaiz kecil, bunyi yang keluar daripada pembesar suara ini cukup lantang dan berkualiti tinggi.

Apa yang lebih mengagumkan daripada kelantangan audio pembesar suara ini buat kami ialah bunyi bass yang cukup padu sekali. Subwoofer di bahagian belakang pembesar suara inimembuatkan bunyi bass kedengaran cukup kuat sekali, walaupun saiz Iron Mini ini adalah kecil.

Akan tetapi, kualiti audio yang bagus ini hanya dapat diperdengarkan apabila pembesar suara ini berada pada mod Bluetooth dan AUX. Apabila ia ditukar kepada mod radio, kami dapati bahawa kualiti bunyi jatuh dengan mendadak, dan disamping itu, kualiti siaran radio FM tersebut juga naik turun, dan sangat bergantung kepada lokasi dimana anda meletakkan radio tersebut.

Satu lagi perkara yang kurang kami gemari tentang mod radio ini ialah penukaran stesen harus dilakukan secara manual sama seperti radio zaman lama. Buat beberapa kali pertama, kami suka memutar dail tersebut untuk mencari stesen radio, tetapi tidak lama selepas itu, ia cukup menjengkelkan, terutama sekali apabila kami ingin mendengar stesen radio yang mempunyai jarak frekuensi yang jauh daripada apa yang sedang didengari.

Patutkah Saya Membelinya?

Pada harga RM299, Elysium Iron Mini ini merupakan sebuah pembesar suara yang mudah dibawa kemana-mana dan hadir dengan kualiti dan kelantangan audio yang cukup kuat sekali.

Jika telefon anda tidak mempunyai pembesar suara yang elok, ataupun anda sering melakukan aktiviti riadah di luar dan mahukan sedikit hiburan, pembesar suara Elysium Iron Mini ini cukup sesuai sekali dengan gaya hidup anda.

PRO dan Kelebihan
  • Harga mampu milik
  • Kualiti binaan yang baik
  • Tiga mod yang cukup berguna
  • Kualiti audio yang cukup baik dan lantang melalui mod Bluetooth dan AUX
  • Jangka-hayat bateri yang panjang
  • Mudah digunakan
KONTRA dan Kekurangan
  • Kualiti audio kurang menyerlah pada mod radio
  • Perlu mencari stesen radio secara manual
  • Tiada penunjuk jangka-hayat bateri khusus



Banyak lagi menarik FB kami

http://ift.tt/14Mtwjx
via Sembang Maniac
0 Komentar untuk "Ulasan – Elysium Iron Mini – Pembesar Suara Kecil Dengan Bunyi Yang Menggemparkan"

 
Copyright © 2014 Sembang Maniac - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info