Sembang Maniac

Sembang-sembang je

Ulasan Samsung Galaxy Note 8 – Masih Peranti Berstylus Terbaik Di Pasaran

Samsung Galaxy Note 8 akhirnya dilancarkan bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh penarikan semula Note 7 akibat masalah bateri tahun lalu. Ketika ditarik semula, terdapat sebilang kecil peminat tegar Note 7 yang berkeras menggunakannya walaupun menyedari ia mungkin meletup pada bila-bila masa. Ini adalah kerana setakat ini tidak ada alternatif kepada peranti dengan stylus yang mempunyai kemampuan peranti keluarga Note.

Dengan Note 8, rekaan Note diberikan nafas baru serasi dengan anjakan paradigma rekan peranti semasa. Skrin Infiniti S8 digunakan semula. Tetapi perbezaan saiz skrin Note 8 dan S8+ adalah kecil iaitu o.1″ sahaja (6.3″ vs 6.2″). Adakah perbezaan kecil ini serta penggunaa sistem dwi-kamera pada peranti Samsung akan membuatkan Note 8 berbaloi untuk dimiliki? Ini adalah pandang pertama kami untuk Samsung Galaxy Note 8.

Spesifikasi

Samsung Galaxy Note 8
Skrin 6.3″ QHD+ SAMOLED HDR (521 PPI)
Pemproses 2.3 x 4 + 1.7 x 4 GHz Exynos 8895
Cip Grafik Mali G71 MP20
RAM 6 Gigabyte
Muatan Dalaman 64 Gigabyte (MikroSD sehingga 256 GB)
Kamera Utama 12+12 Megapixel , f/1.7+f/2.4, OIS, Zoom Optikal
Kamera Depan 8 Megapixel f/1.7, Fokus Auto
Bateri 3300 mAh (Pengecasan Pantas)
SIM/Telefoni Dwi SIM Nano (Talam Hibrid)
NFC Ya
Infra Merah Tiada
Harga Jualan RM 3999
Tempoh Ulasan 14 Hari

Skrin 6.3″ yang digunakan pada peranti ini hanya sedikit lebih besar berbanding 6.2″ yang ditemui pada Galaxy S8+. Hasilnya ialah Note 8 adalah sedikit tinggi dan lebar berbanding model terbesar Galaxy S8+. Skrin SAMOLED Infinity Display dwi-lengkung dikekalkan dengan resolusi QHD+. Keempat-empat bucu skrin mempunyai jejari bulatan yang kecil berbanding S8. Ini bagi membuatkannya rekaannya lebih serasi dengan tubuh Note 8 yang lebih berkotak.

Walaubagaimanapun apabila peranti dihidupkan buat pertama kalinya, resolusi ditetapkan pada FHD+ sahaja. Skrin memanjang dengan nisbah 18:5 ini menyokong paparan HDR. Setakar ini kandungan HDR melalui Neftlix, Amazon Prime dan YouTube boleh distrim oleh Galaxt Note 8.

Imej yang dipaparkan lebih tajam, jelas dan bermaya jika diletakkan bersebelah skrin peranti tanpa sokongan HDR. Seperti menonton objek sebenar di hadapan mata. Perbezaan kualiti visual HDR pada pendapat kami sama seperti kali pertama menonton kandungan Blu-Ray selepas bertahun menonton DVD. Ini ialah teknologi yang secara harfiah akan membuka mata anda apabila melihatnya sendiri.

Skrin SAMOLED buatan Samsung ini tidak mengecewakan dengan warna yang hidup dan boleh dilihat dengan jelas walaupun di bawah sinaran matahari yang terik. Kami membawa Note 8 berjalan-jalan sekitar New York ketika musim panas terik. Tidak sekalipun kami sukar melihat apa yang dipaparkan pada skrin. Ini adalah kelebihan skrin SAMOLED berbanding IPS LCD yang kerap ditemui pada peranti pengeluar lain.

Ini dipadankan dengan pemproses Exynos 8895 untuk pasaran Malaysia, RAM sebesar 6 GB dan storan 64GB. Bagi yang memerlukan storan tambahan, kad MikroSD sehingga 256GB boleh digunakan.

Perubahan paling menarik pada Note 8 tahun ini ialah penggunaan sistem dwi-kamera yang disusun mendatar pada bahagian belakang peranti. Samsung memilih menggunakan dua sensor 12-Megapixel dengan satu lensa f/1.7 untuk rakaman biasa manakala sebuah lagi dengan lensa f/2.4 untuk zoom optikal 2X. Ura-ura zoom optikal 3X nampaknya tidak menjadi kenyataan. Kekecewaan terubat kerana kedua-dua kamera mempunyai sokongan OIS serta sistem pemfokusan Duo-Pixel yang pantas. Pada bahagian hadapan kamera selfie 8-Megapixel f/1.7 dengan fokus auto disertakan. Masih tiada sistem flash atau OIS disertakan.

Sebuah pengimbas nadi dan jari disertakan bersebelah dwi-kamera. Ini masih bukan penyelesaian kepada kedudukan pengimbas yang kurang ergonomik pada S8. Tetapi dengan pengimbas nadi dan jari yang kini bersebelahan antara satu sama lain, masalah jari mengotorkan lensa kamera kini berjaya dikurangkan. Bagi mengurangkan lagi kesilapan tersentuh lensa kamera, permukaan lensa kamera kini rata tanpa dengan alur untuk pengimbas cap jari yang lebih dalam. Alur yang lebih dalam ini memudahkan pengguna mencari kedudukan pengimbas cap jari.

Bagi yang kurang yakin dengan imbasan jari, sistem nyahkunci menggunakan wajah dan anak mata turut boleh digunakan. Perbezaan di antara dua sistem ini ialah sistem imbasan mata tidak mesra mereka yang berkaca mata.

Bateri “sebesar” 3300 mAh disertakan dengan sokongan pengecasan pantas berwayar dan tanpa wayar. Kami letakkan “sebesar” kerana ia lebih kecil berbanding 3500 mAh yang ditemui pada Galaxy S8+. Ini adalah mengecewakan kerana skrin yang lebih besar akan pasti menggunakan lebih kuasa. Ini antara kerisauan kami apabila melihat spesifikasi penuh Note 8. Tambahan lagi sistem Adaptive Fast Charging Samsung tidak sepantas QuickCharge 3.0 Qualcomm dari generasi terdahulu. Menurut Samsung hanya setanding QuickCharge 2.0.

Akhir sekali ialah terdapat sokongan NFC dan MST bagi pemindahan fail dengan mudah serta Samsung Pay. Tidak lupa juga stylus S-Pen yang kami lihat tidak mempunyai perbezaan berbanding Note 7 tahun lalu.

Bagi mereka yang tidak membaca kesemua yang ditulis di atas, versi pendeknya ialah Note 8 ialah sebuah S8+ dengan skrin lebih besar, dilengkapi dwi-kamera, stylus dan bateri lebih kecil.

Rekabentuk

Tubuh Note 8 adalah lebih berkotak berbanding S8. Ini adalah konsisten dengan rekaan yang digunakan pada Note 7. Jujurnya kami lebih menyukai rekaan yang lebih berkotak ini kerana kelihatan lebih kacak.

Kerangka logam pada sisi dipadankan dengan panel berkaca depan dan belakang. Kerana permukaan yang hampir kesemuanya kaca, ia memerangkap kotoran dengan teramat mudah.

Butang kuasa terletak pada kanan peranti dan diperbuat daripada logam. Dua butang kawalan suar pula terletak pada sisi kiri di atas butang khas Bixby.

Bergerak ke atas, terdapat satu talam dwi-SIM nano dan kad MikroSD. Talam yang digunakan adalah dari jenis hibrid dan tidak membenarkan penggunaan dwi-SIM serentak dengan kad MikroSD. Seperti pada model-model terkini Samsung, talam SIM perlu dicucuk dengan jarum untuk dikeluarkan.

Sebuah pembesar suara terletak pada bahagian bawah. Ini apabila dipadankan dengan pembesar suara pada bahagian atas skrin memberikan sokongan audio stereo. Bersebelahannya terdapat tempat simpanan S-Pen. Rekaan yang dikemaskini membuatkan S-Pen tidak lagi boleh dimasukkan secara terbalik. Bicu audio 3.5mm dan port pengecasan USB-C juga terletak pada bahagian bawah.

Walaupun terdapat lubang terbuka, Samsung Galaxy Note 8 masih hadir dengan tahap ketahanan air dan debu IP68. Pada peranti utama semasa, ini ialah yang kini wajib disertakan bagi menjadikan peranti lebih kompetitif di pasaran.

Antaramuka

Android 7.1.1 digunakan dengan pelancar Samsung Experience 8.5. Kedua-duanya adalah lebih terkini berbanding yang digunakan pada S8 (Android 7.0 dan Samsung Experience 8.1). Perbezaan yang kami sedar ialah animasi antaramuka adalah lebih pantas dan lancar berbanding pada S8. Animasi sedikit kurang lancar mencari sumber rungutan pengguna S8.

Tetapi kami kecewa fungsi App Shortcut yang muncul apabila ikon aplikasi ditekan tidak disertakan. Ia adalah fungsi menarik Android 7.1.1 yang kerap kami gunakan pada Google Pixel dan HTC U11 yang kami miliki.

Selain antaramuka lebih lancar tidak banyak perubahan mendadak dapat kami temui pada antaramuka Note 8.

Seperti biasa Samsung menyertakan pelbagai fungsi tambahan pada peranti keluaran mereka. Kebanyakan fungsi tambahan ini tidak ditemui pada Android Stock. Berikut ialah senarai fungsi-fungsi yang disertakan.

Edge Panel – Sama seperti tahun lalu tetapi kini lebih banyak pilihan panel. Yang paling kami minati ialah Smart Select yang membolehkan GIF beranimasi dihasilkan terus dari skrin peranti.

Always On Display – Paparan notifikasi dan masa yang sentiasa terpasang apabila peranti dikunci.

Themes – Mengubah tema antaramuka, latar belakang dan pek ikon.

Clear Badge – Membuang jumlah notifikasi mesej belum dibaca pada aplikasi tertentu.

Put To Sleep – Menyahaktifkan aplikasi sementara. Tidak lagi menggunakan data atau memberikan notifikasi apabila diaktifkan.

Palm Capture – Menangkap gambar paparan skrin dengan menggunakan telapak tangan.

Smart Stay – Skrin tidak akan terpadam selagi ia mengesan mata anda memandang skrin.

Direct Call – Peranti melakukan panggilan telefon secara automatik apabila ia diletakkan ke telinga pengguna.

Easy Mute – Mematikan nada dering dengan meletakkan tangan di atas skrin atau menelangkupkan peranti.

Mengakses Talam Notifikasi Dengan Pengimbas Cap Jari – Skrin yang memanjang pasti menyukarkan akses kepada talam notifikasi. Dengan mod ini talam boleh ditarik ke bawah dan ke atas dengan tatalan pada pengimbas jari seperti pada peranti Google Pixel.

Quick Launch Camera – Melancarkan kamera dengan pantas dengan menekan butang kuasa sebanyak dua kali. Ini menggantikan fungsi menekan butang home fizikal sebanyak dua kali yang tidak lagi wujud.

One Handed Mode – Mengecilkan paparan skrin bagi memudahkan penggunaan sebelah tangan dengan menekan butang home sebanyak tiga kali dengan pantas atau menatal dari bucu bawa ke atas.

Themes – Kustomasi antaramuka dengan tema-tema baru yang boleh dimuat turun.

Game Launcher – Kemudahan merakam video aplikasi permainan serta mematikan kesemua notifikasi apabila ia diaktifkan.

Grid – Menetapkan saiz grid susunan ikon. Terdapat pilihan 4×4, 4×5, 5×5 atau 5X6.

Secure Folder – Menghalang akses kepada folder tertentu dengan menguncinya dengan cap jari, nombor pin atau paten.

Edge Panels – Pintasan pantas kepada aplikasi kegemaran, nombor telefon insan terpenting, lampu suluh, pembaris, kompas dan juga rumusan berita terkini terus dari skrin sisi.

Stylus S Pen

Sokongan stylus S-Pen kembali tanpa perubahan yang ketara. Stylus Note 8 masih lagi menggunakan teknologi Wacom yang tidak memerlukan bateri. Ia mampu mengesan 4096 tahap tekanan. Pada aplikasi yang menyokongnya, ketebalan garisan lakaran berubah mengikut tekanan pada mata pena.

Tahun demi tahun S-Pen ialah stylus yang terbaik di dalam kelasnya. Tiada keperluan untuk mengecaj atau menggantikan bateri. Sebagai perbandingan Apple Pencil dan Surface Pen perlu dicaj/digantikan bateri. Lakaran amat lancar menggunakan S-Pen dengan sela input yang sedikit hampir tidak disedari. Komen negatif yang boleh kami berikan ialah ia masih agak pendek. Kami mempunyai sebah

Mata pena lebih halus bagi memudahkan lakaran yang lebih terperinci pada aplikasi seperti S-Note dan Autodesk Sketch. Menarik sekali Samsung memberikan lima mata stylus gantian lengkap dengan penyepit untuk menariknya keluar dari S-Pen. Ini tidak pernah dilakukan sebelum ini. Agak jarang mendengar pemilik Note mengeluh mata S-Pen mereka haus tetapi pemberian alat gantian ini dengan setiap pembelian adalah langkah yang baik.

S-Pen sepanjang 4″ ini kami lihat mengitar semula rekaan tahun lalu. Bahagian belakang mempunyai mekanisme yang menghalang ia dari dimasukkan secara terbalik. Sebuah butang kawalan terletak berhampiran bahagian hadapan S-Pen untuk kawalan tambahan. Bagi mereka yang pernah menggunakan peranti Note, mereka tidak perlu belajar semula menggunakan S-Pen kerana penggunaan rekaan yang sama.

Berikut ialah beberapa fungsi yang boleh dilakukan dengan S-Pen.

S-Note – Aplikasi terbina sejak Note generasi pertama kini diperbaiki. Apabila lakaran dilakukan di dalam aplikasi, kedengaran bunyi goresan pensel, berus dan marker yang realistik. Ini membuatkan melakar di atas skrin terasa lebih semulajadi. Agak malang kesan bunyi ini tidak disokong pada aplikasi pihak ketiga.

Screen Off Memo – Melancarkan aplikasi mengambil memo terus dari peranti yang dikunci. Memo yang ditulis atau lakaran yang dilakukan akan disimpan sejurus selepas S-Pen dimasukkan semula ke tempat simpanan.

Smart Select – Mengambil gambar paparan skrin tertentu sahaja dengan menetapkan had kawasan. GIF beranimasi dari video juga boleh dihasilkan menggunakan fungsi ini.

Pelancaran Aplikasi Pantas – Pintasan pantas kepada aplikasi boleh diletakkan pada menu Air Command.

Live Message – Menghasilkan GIF beranimasi sekitar empat saat menggunakan lakaran sendiri.

Google Translate – Melakukan alih bahasa secara automatik apabila cursor S-Pen diapungkan di atas perkataan yang ingin dialih bahasa.

Bixby Vision – Melancarkan carian imej menggunakan pembantu maya Bixby

Kamera

Kamera utama sebesar 12+12-Megapixel f/1.7+f/2.4 dilengkapi sistem pemfokusan pantas Dual Pixel dan Dual-OIS. Note 8 ialah peranti pertama di pasaran dengan sistem penstabilan optikal pada kedua-dua lensa kamera. Sistem kamera lensa sudut lebar dan zoom optikal digunakan. Ini meletakkannya setanding iPhone 8 Plus dan LG V30. Pada tetapan paling tinggi ia merakam video pada tetapan 4K 60FPS. Bagi yang tidak memerlukan 4K, rakaman 1080P 60 FPS. Samsung memberikan petanda minggu lalu Note 8 bakal menerima mod rakaman 4K 60FPS melalui kemaskini. Pada tetapan 12-Megapixel gambar diambil pada nisbah 4:3. Untuk mendapatkan nisbah 16:9, ia perlu diturunkan ke saiz 9.1-Megapixel

Bergerak ke hadapan kamera selfie 8-Megapixel f/1.7 disertakan. Tiada sokongan flash dan autofokus manakala mod rakaman maksimum ialah 1440P 30FPS.

Samsung menyertakan sistem Augmented Reality pada kamera hadapan dan belakang. Topeng wajah haiwan yang comel boleh dipaparkan pada wajah pengguna. Selfie akan kelihatan lebih menarik dengan sistem pencantikan muka yang sudah disertakan oleh Samsung sejak bertahun lamanya. Terdapat beberapa pra-tetapan untuk melakukan Virtual Shot dan Hyperlapse. Fungsi baru turut boleh dimuat turun sekiranya diperlukan. Dengan Note 8 mod eksklusif yang diberikan ialah kemampuan mengambil gambar skrin penuh dengan pada nisbah 18.5:9. Hasilnya ialah foto memanjang yang lebih sinematik.

Antaramuka kamera adalah kemas dengan ikonografi yang mudah difahami. Pengguna boleh memulakan rakaman gambar dan video terus dari paparan aplikasi kamera tanpa perlu menatalnya terlebih dahulu seperti pada antaramuka Sony.

Terdapat butang Bixby Vision, Live Focus dan Stickers yang sentiasa terpampang pada skrin. Untuk melakukan zoom optikal, terdapat butang khas berbentuk bulat. Zoom optikal secara lebih berperingkat boleh dilakukan dengan melakukan aksi pinch-in dan pinch out. Pendek kata antaramuka kamera Note 8 amat mudah difahami dan digunakan walaupun oleh amatur.

Zoom Optikal

Zoom optikal adalah fungsi yang amat diperlukan sekiranya anda tidak dapat menghampiri subjek yang ingin diambil gambarnya. Ini mungkin artis kegemaran, burung di atas pokok atau gadis barista yang comel di Starbucks. Note 8 mampu melakukan zoom optikal sehingga 2X. Kami menguji sistem zoom optikal ini pada waktu malam dan siang untuk melihat sama ada lensa f/2.4 mampu menghasilkan gambar yang memuaskan.

Pada hemat kami gambar yang diambil adalah tajam tanpa masalah noise walaupun diambil pada waktu malam. Elemen di dalam gambar masih tajam dan tulisan boleh dibaca dengan mudah. Kawasan dengan sumber cahaya yang terang tidak overexposed atau menunjukkan kesan blooming. Sekali lagi Ini amat memuaskan.

Seterusnya kami mengujinya pada waktu siang. Cuaca musim panas yang baik membolehkan kami mengambil gambar di dalam keadaan paling optimum

Walaupun keadaan cahaya yang amat terang dengan matahari yang terik, langit dan awan kelas kelihatan di alam kedua-dua gambar. Pada sesetengah kamera di dalam situasi yang sama keseluruhan langit kadang kala hanya menjadi putih di dalam gambar yang diambil.

Penghasilan warna seperti anda boleh lihat amat baik begitu juga dengan ketajaman objek dalam gambar. Bangunan ini sengaja kami pilih kerana dicat dengan mural yang menggunakan semua warna di dalam pelangi Di dalam mod zoom, sekali lagi gambar yang dihasilkan amat baik.Alur pada batu bata yang tidak dapat dilihat sebelum zoom kini jelas kelihatan.

Live Focus

Dengan penggunaan dwi-kamera, kesan khas bokeh boleh diambil melalui fungsi Live Focus. Selepas gambar diambil, tahap kekaburan latar belakang boleh diubah di dalam aplikasi Gallery. Di bawah ialah beberapa contoh gambar yang berjaya kami ambil menggunakan mod bokeh ini.

Sekali lagi kami cukup berpuas hati dengan fungsi Live Focus ini. Objek latar hadapan dipisahkan dari latar belakang dengan cukup baik. Selepas memuat naik gambar pertama di atas di Instagram ada yang tidak mempercayai ia diambil menggunakan sebuah telefon pintar.

Dua gambar akan diambil setiap kali Live Focus digunakan. Note 8 akan menggunakan kedua-dua kamera untuk mengambil gambar. Sebuah gambar hibrid akan dihasilkan dengan menganalisa dua gambar yang diambil tadi. Ini akan mengambil ruang di dalam storan peranti. Di bawah ialah gambar turut diambil Note 8 bersama dengan gambar bokeh pertama di atas.

Tetapi komen negatif harus kami berikan pada perisian Live Focus. Ia memerlukan pencahayaan yang baik dan subjek berada sekitar 1.2 meter dari kamera untuk ia berfungsi dengan baik. Mesej “Can’t use Live Focus. Not enough light” akan terpapar pada skrin sekiranya parameter tidak dipenuhi.

Sistem ini juga bergantung kepada perisian sepenuhnya dan boleh menghasilkan kesan bokeh yang kurang tepat seperti yang dilihat di bawah. Memandangkan ini percubaan pertama Samsung kami akan memberikan mereka peluang untuk memperhalusi sistem Live Focus. Potrait Mode iPhone juga mempunyai masalah yang sama walaupun sudah setahun diperkenalkan kepada umum.

Bagaimana pula sekiranya gambar diambil dalam mod biasa? Seperti pada Galaxy S8, kualiti gambar walaupun di dalam mod automatik adalah mengagumkan. Penghasilan warna yang hidup dengan saturasi yang tinggi serta objek yang sentiasa tajam. Ini ialah trademark aplikasi kamera Samsung dan majoriti pengguna menyukainya. Pengguna peranti lain mungkin akan mengatakan ia tidak menyamai keadaan objek di dunia sebenar.

Pada waktu malam atau siang gambar yang dihasilkan jarang sekali mengecewakan. Tiada masalah noise pada waktu malam atau dedahan berlebihan pada waktu siang. Bagi mereka yang kurang berbakat menggunakan kamera seperti kami, mod automatik Note 8 boleh digunakan di dalam 90% situasi tanpa sebarang kerisauan.

Sistem pemfokusan amat pantas walaupun apabila gambar diambil dengan HDR diaktifkan. Kamera Note 8 kami rasakan sedikit lebih pantas berbanding S8. Ini sekaligus meletakkan Note 8 sebagai peranti dengan kemampuan kamera terbaik yang pernah diulas sepanjang 2017.

Audio

Hanya sebuah pembesar suara mono disertakan pada bahagian bawah peranti. Bunyi yang dihasilkan hanya sekadar memuaskan kerana pada hemat kami sistem stereo adalah wajib disertakan pada peranti utama. Pembesar suara stereo mungkin tiada tetapi bicu audio masih disertakan bersama dengan sepasang fon telinga yang ditala oleh AKG.

 

Kemampuan audio pada peranti Samsung tahun ini adalah lebih baik berbanding tahun sebelumnya. Bass lebih berdentum dengan audio pelbagai saluran yang lebih jelas. Sebelum ini dentuman bass kurang bermaya seperti mercun padi dan bunyi bercampur baur. Sekiranya anda mempunyai fon telinga yang baik. Kesemua penambahbaikan audio tahun ini dapat didengari dengan lebih jelas. Note 5 juga adalah antara sebahagian kecil peranti yang menyokong Bluetooth 5 yang membolehkan 2 alat audio ditambah secara serentak dan melakukan penstriman.

Penanda Aras

Sebagai peranti kelas utama, Galaxy Note 8 diperkasakan oleh pemproses Exynos 8895 yang setakat ini ialah pemproses paling berkuasa pada peranti Android. Ini dipadankan pula dengan RAM sebesar 6GB. Selepas ujian penanda aras dilakukan, markah yang dicatatkan adalah seperti berikut. Pada ujian Antutu ia mencatatkan 17629 markah manakala pada ujian Futuremark Ice Storm Unlimited pula 31942 markah dicatatkan. Ini adalah markah yang sedikit lebih tinggi berbanding yang dicatatkan oleh Galaxy S8 sebelum ini. Ia dengan mudah meletakkan Note 8 di antara lima peranti terpantas di Makmal Amanz tahun ini.

Ujian sintetik ini baik untuk melihat kemampuan peranti tetapi bagaimana pula dalam kegunaan seharian? Pada awalnya kami menemui pelbagai masalah seperti kegagalan beroperasi dan aplikasi yang tidak boleh dilancarkan. Hanya beberapa hari sebelum ulasan ini ditulis Samsung memberikan kemaskini bersaiz hampir 600 Mb yang menjanjikan beberapa penambahbaikan.

Perubahan mendadak pada kelancaran peranti dapat dirasakan serta merta. Animasi antaramuka lebih lancar dan tiada lagi masalah aplikasi gagal berfungsi. Kepada yang ingin memiliki Note 8 kelak kami menyarankan anda terus memuat turun kemaskini ini bagi memastikan ia dapat berfungsi dengan optimum.

Harus kami nyatakan Note 8 berfungsi jauh lebih lancar dan pantas berbanding Galaxy S8 dan S8+ kerana menggunakan perisian lebih terkini. Kami hanya berharap kemaskini ini dapat diberikan kepada Galaxy S8 dengan kadar pantas kerana apabila digunakan secara sebelah menyebelah, perbezaan kelancaran dua peranti ini adalah amat ketara.

Bateri

Pada penggunaan paling berat (skrin QHD+, menggunakan Waze, ditambat kepada Gear S3 dan menstrim audio Spotify secara bluetooth) peranti bertahan selama 10 jam 30 minit dengan skrin terpasang selama 6 jam 45 minit. Pada penggunaan sederhana pula peranti bertahan selama 12 Jam 10 minit dengan skrin terpasang selama hampir 4 jam  40 minit.

Ini bukanlah hayat penggunaan yang membanggakan bagi sebuah peranti utama yang dilancarkan pada tahun 2017. Saiz bateri yang lebih kecil berbanding S8+ dengan skrin yang lebih besar menyebabkan peranti mempunyai hayat penggunaan yang hanya sederhana.

Bagi menambahkan hayat penggunaan bateri kami mengurangkan resolusi skrin ke HD+ sahaja dan tidak menambat kepada peranti boleh pakai dan bluetooth. Kerisauan kami mengenai hayat bateri nampaknya berasas. Satu-satunya berita baik disini ialah sistem pengecasan pantas Adaptive Fast Charging mampu mengecas semula peranti dalam masa hanya 110 minit.

Pesaing

Peranti paling premium Samsung tahun ini perlu dibandingkan dengan dua peranti paling premium dan terkini pesaing. Oleh itu kami merasakan iPhone X dan LG V30 ialah dua peranti yang layak dinobatkan sebagai pesaing Galaxy Note 8. Spesifikasi hampir setanding dan ketiga-tiganya mempunyai sistem dwi-kamera zoom optikal, skrin OLED HDR gergasi serta harga yang kurang mesra poket.

Peranti Pesaing
Samsung Galaxy Note 8 LG V30 Apple iPhone X
6.3″ SAMOLED QHD+ HDR  (521 PPI) 6″ P-OLED, QHD+  HDR (537 PPI) 5.8″ OLED, Super Retina HD (458 PPI)
2.3 x 4 + 1.7 x 4 GHz Exynos 8895 2.3 X 4 + 1.7 X 4 GHz Exynos 8895 Apple A11 Bionic
Mali G71 MP20 Adreno 540 Apple M11
6 Gigabyte 4 Gigabyte 3 Gigabyte
64 Gigabyte (256 GB MikroSD) 64 Gigabyte (256 GB MikroSD) 64/256 Gigabyte
Kamera Utama 12+12 Megapixel f/1.7+f/2.4, Dual Pixel, Dual OIS Kamera Utama 16+13 Megapixel f/1.6+ f/1.9, PDAF, Laser, OIS, Kamera Utama 12+12 Megapixel, f/1.8+f/2.5, Focus Pixel, Dual OIS
Kamera Hadapan 8 Megapixel f/1.7 Kamera Hadapan 5 Megapixel f/2.2 Kamera Hadapan 7 Megapixel, f/2.2,
3300 mAh (Pengecasan Pantas) 3300 mAh (Pengecasan Pantas) ? mAh (Pengecasan Pantas)
RM 3999 RM 3521* RM 4199*

* = Harga diubah dari mata wang asing

Kesimpulan

Setahun menghilang dan dua tahun tanpa model baru. Bagi peminat peranti Note, kemunculan Samsung Galaxy Note 8 amat dinantikan. Tiada peranti di pasaran sekarang yang mempunyai pelbagai teknologi terkini di dalam kerangka yang padat. Peranti Note sahaja yang menyokong imbasan wajah, imbasan iris, imbasan jari, sistem dwi-kamera OIS, stylus terbina, skrin HDR, pengecasan pantas, pengecasan pantas tanpa wayar, rekaan semua skrin dan kemampuan kali air. Ia dengan mudah memegang takhta sebagai peranti dengan jumlah fungsi terbanyak.

Apa yang kami sukakan tentang Note 8 ialah ia peranti yang berkuasa dengan spesifikasi yang tinggi. Pemproses berkuasa dipadankan dengan saiz RAM yang besar serta perisian yang lebih dioptimasi memastikan peranti ini berfungsi dengan lancar. Malahan ia lebih lancar berbanding S8 yang mempunyai spesifikasi hampir sepadan.

Kemampuan kamera adalah terbaik kami lihat pada peranti pintar tahun ini. Ia mengambil gambar yang baik pada waktu siang ataupun malam. Kemampuan zoom opktikal 2X dan Live Focus memberikannya kelebihan berbanding S8 yang sebelum ini kami nobatkan sebagai peranti dengan kemampuan kamera terbaik. Cuma pada waktu ini Live Focus masih belum sempurna dan perlu dikemaskini bagi menghasilkan gambar yang lebih tepat kesan bokehnya.

S-Pen kembali dengan mata yang lebih kecil bagi membolehkan karya yang lebih terperinci dihasilkan. Ia tidak perlu dicas dan ini adalah kelebihan teknologi Wacom yang digunakan. Samsung turut menyertakan lima mata pena gantian dengan setiap pembelian Note 8.

Tetapi kesemua ini hanya boleh dimiliki jika anda sanggup membayar RM3999 untuk memilikinya?

Ia tidak sempurna dengan hayat bateri yang hanya sederhana untuk peranti tahun 2017. Pada penggunaan berat peranti hanya mampu bertahan sekitar 10 jam 30 minit dengan SOT sekitar 6 jam. Sokongan pengecasan pantas sahaja yang memaafkan hayat bateri yang kurang memberangsangkan ini.

Seperkara lagi ialah wujudnya Samsung Galaxy S8+. Perbezaan saiz skrin (0.1″)  peranti terbesar Galaxy S dan Galaxy Note tahun ini ialah yang paling kecil. Perbezaan lain hanyalah dwi-kamera, stylus dan bateri yang lebih kecil.

Di akhir hari Samsung Galaxy Note 8 ialah peranti yang mempunyai “ketumpatan” teknologi yang paling tinggi di dalam peranti pintar. Terdapat banyak fungsi tambahan Note 8 tidak boleh ditemui pada peranti lain di pasaran sekarang. Ini membolehkan Samsung menjualnya pada harga RM 3999. Ini pada hemat kami menjadikannya berbaloi untuk membelanjakan RM300 lebih mahal berbanding harga jualan RM3699 Samsung Galaxy S8+. Bagi mereka yang inginkan peranti berstylus terbaik, ini sahaja pilihan paling berbaloi di pasaran sekarang.

Kelebihan Kekurangan
  • Skrin SAMOLED QHD+ yang tajam dengan paparan warna HDR yang amat mengujakan.
  • Spesifikasi yang tinggi. Tiada masalah melancarkan sebarang aplikasi.
  • Peranti berfungsi dengan lancar dan pantas. Tiada masalah sela masa.
  • Kamera yang mampu mengambil gambar dengan kualiti tinggi. Paling penting ialah ia berfungsi dengan pantas walaupun dalam mod HDR.
  • Rekaan tubuh yang amat seksi. Iterasi dari rekaan semua skrin S8 sebelum ini.
  • Kemampuan audio yang baik. Masih terdapat bicu audio.
  • Tubuh terlalu licin dan mudah memerangkap kotoran.
  • Hayat bateri hanya sederhana.
  • Sukar digunakan sebelah tangan.
  • Pembesar suara mono



Banyak lagi menarik FB kami

http://ift.tt/14Mtwjx
via Sembang Maniac
0 Komentar untuk "Ulasan Samsung Galaxy Note 8 – Masih Peranti Berstylus Terbaik Di Pasaran"

 
Copyright © 2014 Sembang Maniac - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info