Xiaomi sebelum ini pernah hadir dengan Mi Notebook, iaitu percubaan pertama Xiaomi dalam pasaran komputer riba. Ia dibina untuk bersaing dengan peranti MacBook dan MacBook Air daripada Apple, dengan menawarkan binaan yang ringan, spesifikasi lebih pantas, dengan penawaran harga yang lebih rendah. Untuk percubaan pertama, mereka dilihat ingin memfokuskan kepada pengguna umum terlebih dahulu, yang rata-ratanya mahukan sebuah komputer yang mudah dibawa dan mempunyai ketahanan bateri yang lama untuk kegunaan harian.
Bagi pengguna yang terdiri daripada golongan profesional, Xiaomi pada acara pelancaran Xiaomi Mi MIX 2 telah melancarkan Mi Notebook Pro 15.4″, yang menawarkan spesifikasi lebih tinggi untuk kegunaan intensif. Ia didatangkan dengan cip pemprosesan terkini Intel Core generasi ke-lapan “Coffee Lake”, sokongan grafik Nvidia, bersama penggunaan storan berasaskan PCIe berkelajuan tinggi. Ia juga membawakan paparan yang lebih besar iaitu bersaiz 15.4-inci, yang tentunya memudahkan golongan-golongan ini menghasilkan tugasan seperti suntingan gambar dan video.
Rekaan
Xiaomi Mi Notebook Pro telah didatangkan dengan tiga pilihan konfigurasi, iaitu konfigurasi asas dengan 8GB RAM DDR4 2400MHz, 256GB PCIe SSD, dan cip grafik NVIDIA GeForce MX150 2GB GDDR5 pada harga sekitar ~RM3,854 (RMB 5,999) untuk Intel Core i5-8250U dan ~RM4111 (RMB 6399) untuk Intel Core i7-8550U. Untuk konfigurasi tertinggi pula, ia menawarkan spesifikasi yang sama seperti di atas dengan Intel Core i7-8550U, melainkan memorinya ditingkatkan kepada 16GB RAM pada harga sekitar ~RM4497 (RMB 6999).
Dari segi rekaan, binaan komputer riba ini banyak mengambil inspirasi dari binaan MacBook Pro Touch Bar, terutama dari segi rekaan luaran dan kenipisan peranti ini. Binaannya diperbuat daripada magnesium aluminum alloy, yang memberikan ketahanan peranti yang sangat kukuh untuk kegunaan harian. Dari segi luarannya juga, ia masih membawakan rekaan seperti Mi Notebook terdahulu, dengan rekaan minimal tanpa sebarang perletakkan logo.
Xiaomi juga turut menekankan kepada saluran haba pada peranti ini, yang mana kini dijana dengan mampu mengeluarkan lebih 40 haba daripada sistem penyejukan simetri. Selain itu, peranti ini turut membawakan sokongan pembesar suara yang disahkan dengan Harman Infinity, selain memberi penawaran Dolby Atmos untuk pengalamann audio yang lebih imersif.
Seperti namanya, Mi Notebook Pro 15.4″ membawakan paparan 15.4-inci 16:9 pada resolusi 1920×1080 yang mana turut dilindungi dengan kaca Corning Gorilla Glass 3. Paparan ini membawakan screen-to-body sekitar 81.5%, yang memberikan penglihatan bezel paparan yang lebih nipis. Ia juga menawarkan color gamut NTSC, selain menawarkan kadar keterangan (brightness) sekitar 300nit.
Sebagai peranti yang menfokuskan kepada pengguna profesional, Xiaomi turut menekankan kepada pengalaman ketika menaip yang baik, dengan menghadirkan kekunci yang lebih lebar dan lebih selesa ditekan berbanding MacBook Pro. Ia menawarkan fungsi backlit pada papan kekunci ini, bagi memudahkan anda menaip sesuatu ketika penggunaan pada waktu gelap. Selain itu, Xiaomi juga turut menawarkan fungsi pengimbas jari pada touchpad, yang mana turut menyokong Windows Hello untuk menyahkunci peranti.
Dari segi sambungan, Mi Notebook Pro 15.4″ menawarkan port sambungan yang begitu menyeluruh berbanding MacBook Pro, seperti kehadiran 2 x USB-A 3.0, 2x USB-C, HDMI, earphone jack 3.5mm, dan slot kad SD. Untuk sambungan USB-C, hanya satu port sahaja yang menyokong piawaian penuh (data, video, dan pengecasan) sementara satu lagi port USB-C hanya menyokong data dan pengecasan. Melengkapkan lagi peranti ini ialah sambungan WiFi AC dengan 2 antena dan Bluetooth 4.1 untuk sambungan tanpa wayar yang lebih pantas.
Dari segi sistem operasi, Mi Notebook Pro 15.4″ telah didatangkan dengan Windows 10 Pro secara terbina, yang membolehkan pengguna menikmati fungsi yang ditujukan oleh penggiat teknologi dan golongan profesional. Melalui percubaan awal, prestasi boot dan pembukaan aplikasi daripada Windows 10 dilihat sangat pantas, yang mana sangat dibantu melalui penggunaan storan berasaskan PCIe. Dengan kehadiran Windows 10, pengguna juga dapat menikmati kemaskini baru sepanjang hayat, yang membolehkan peranti ini memenerima fungsi baru walaupun digunakan pada jangka masa lama.
Xiaomi Mi Notebook Pro 15.4″ turut menyokong fungsi pengecasan pantas, yang membolehkan komputer riba dicas sekitar 50% dalam masa hanya 35 minit. Ia juga menyediakan alat pengecas yang kini 43% lebih kecil, bagi memudahkan anda membawa peranti ini untuk kegunaan di luara atau ketika mengembara. Dari segi jangka hayat bateri, ia membawakan bateri 60 Wh, yang mana dijangkan akan memberi penggunaan sekitar 7 jam mengikut jenis kegunaan pengguna.
Penutup
Xiaomi Mi Notebook Pro 15.4″ dilihat sebagai komputer riba alternatif yang begitu baik, melalui penawaran spesifikasi terkini dengan sokongan port yang sangat menyeluruh. Ia telah mengekalkan beberapa port yang sering digunakan pengguna seperti USB-C dan slot kad SD, yang mana amat dititikberatkan untuk content creator. Dengan penawaran cip grafik NVIDIA GeForce MX150 dan cip pemprosesan Intel Core generasi ke-lapan, pengguna dapat menghasilkan sesuatu perkara kreatif dengan lebih pantas, dalam satu pakej peranti di bawah 2KG.
Selain MacBook Pro, komputer riba ini dilihat bersaing dengan beberapa komputer riba utama seperti Dell XPS 15 yang mana menyediakan konfigurasi yang lebih fleksibel seperti paparan 4K dan penyediaan ruang storan yang lebih tinggi. Dengan harga jangkaan bermula ~RM3,854 untuk konfigurasi asas dengan Intel Core i5, Mi Notebook Pro 15″ adalah sebuah peranti yang cukup baik, dengan penawaran seperti rekaan, spesifikasi, dan port sambungan yang cukup seimbang untuk keperluan pengkomputeran yang intensif. Cuma dari segi jualannya di Malaysia masih agak samar, yang mana memerlukan anda membeli secara import untuk mendapatkan peranti ini.
Banyak lagi menarik FB kami
http://ift.tt/14Mtwjx
via Sembang Maniac
0 Komentar untuk "Pandang Pertama: Xiaomi Mi Notebook Pro 15.4″ – Pesaing MacBook Pro Pada Harga Lebih Rendah"