Sembang Maniac

Sembang-sembang je

Ulasan – Jam Tangan Pintar Pebble

Bulan lepas jam tangan kesayangan saya iaitu G-Shock telahpun menamatkan khidmat beliau bersama saya. Ini adalah kerana air telah mula meresap kedalamnya, setelah melalui proses penukaran bateri kali kedua. Walaupun paparannya mula rosak sedikit demi sedikit, saya tetap memakainya kerana tidak biasa tanpa memakai jam di tangan. Saya mula mencari jam baru dan berniat untuk mendapatkan jam tangan pintar.

Pebble Smart watch -IMG_0070

Pada waktu tersebut berita mengenai jam tangan pintar Pebble Time menjadi hangat, akan tetapi saya terlepas peluang untuk menyertai pendanaan terbuka di Kickstarter. Setelah mendapatkan pelbagai info berkenaan Pebble, bagai orang mengantuk disorongkan bantal terdapat seorang penjual Pebble di laman Mudah, menawarkan tiga unit terakhir Pebble versi awal berwarna putih pada harga RM300 setiap satu. Jika dibandingkan dengan harga runcit, harga unit ditawarkannya adalah murah, berkadaran dengan harga rasmi dari Pebble namun tidak perlu menunggu selama 2-3 minggu untuk penghantarannya dari Amerika Syarikat.

Kenapa Pebble? Kenapa tidak Android Wear ataupun Apple Watch

Terdapat pelbagai pilihan di pasaran. Antara yang paling menggoda sudah tentu jam tangan pintar dengan sistem operasi Android Wear. Saya sendiri telah mencuba beberapa diantaranya pada jangkamasa terhad namun kerana saya telefon pintar utama saya ialah iPhone, sudah tentu kebolehannya juga terhad. Pada masa yang sama saya inginkan jam tangan yang agak lasak, sesuai dengan kegunaan saya.

Apple Watch pula masih ditahap awal dan diluar kemampuan saya, serta kebanyakan jam tangan pintar yang lain boleh dikatakan mahal berbanding Pebble yang saya beli pada harga RM 300. Faktor kedua adalah dari segi bateri, dimana Pebble mampu bertahan sehingga 5 hari pada sekali caj penuh. Saya juga mempunyai dilema dimana saya menggunakan Fitbit Flex namun kegunaan Fitbit tersebut terhad. Pebble dilihat dapat menggantikan Fitbit Flex bagi tujuan mengira aktiviti kecergasan.

Rekabentuk dan Binaan

Pebble Smart watch -IMG_0378

Tidak dinafikan dari segi rekabentuk dan bahan binaan, material besi memberikan lebih gaya mutu dan keunggulan. Namun saya merupakan pengguna tegar G-Shock dan tidak kisah dengan jam tangan plastik. Malah dari segi rekabentuk, saya agak berpuashati kerana ia bukanlah satu bentuk yang biasa dilihat umum, dan oleh kerana ia berwarna putih, ia tampak menyerlah. Jika bercakap dari segi gaya, mungkin G-Shock janggal dikenakan bersama pakaian formal dan kelihatan seperti askar, dengan Pebble, ia seolah menampakkan kelainan. Dari segi saiz, Pebble generasi pertama ini sedikit tebal dan mungkin agak besar namun bagi anda yang inginkan saiz yang lebih nipis, Pebble Time yang akan datang mempunyai badan yang nipis.

Jam tangan pintar Pebble yang saya miliki adalah versi pertama, dan mungkin antara yang terawal. Ini kerana untuk versi Pebble plastik ini, terdapat juga model yang mempunyai skru dibelakang. Model yang saya miliki tidak mempunyai sebarang skru. Pebble juga kalis air dan debu serta boleh dibawa mandi dan berenang. Ia mempunyai ketahanan 5ATM, boleh digunakan sehingga 40m sesuai untuk snorkeling namun mungkin kurang sesuai untuk menyelam lautan dalam. Untuk tahap ekstrim yang pernah saya lakukan, berenang di laut dengannya dan menaiki motorsikal dalam hujan lebat. Sehingga kini tiada tanda kemasukan air terhadap jam ini malah Pebble sendiri menyatakan jam ini boleh digunakan semasa mandi.

Pebble Smart watch -IMG_0351 Pebble Smart watch -IMG_0348 Pebble Smart watch -IMG_0352

Pada badan Pebble ini terdapat satu butang disebelah kiri dan tiga butang disebelah kanan. Butang kiri bertindak sebagai Backbutton dimana pada sebarang pilihan menu atau aplikasi, butang kiri yang ditekan akan membawa pengguna ke halaman terdahulu sehinggalah halaman utama, iaitu muka jam. Dibawah sebelah kiri terdapat palam pengecasan magnetik. Pada sebelah kanan, butang atas ‘Up’ dan butang bawah ‘Down’ merupakan navigasi yang berfungsi seolah-olah pada telefon bimbit yang lama, dimana pada paparan antaramuka Pebble akan menunjukkan apakah kegunaan butang tersebut. Butang ditengah ialah butang ‘Select’. Namun kesemua pilihan pada butang sebelah kanan ini boleh berubah-ubah mengikut aplikasi yang terpapar pada paparan antaramukanya. 

Apa yang Pebble Boleh Lakukan?

Jam tangan pintar ini berhubung dengan telefon pintar secara Bluetooth Low Energy. Pebble kerap menekankan keutamaan yang dibawakan oleh mereka adalah ‘Glanceable Notification’ dimana setiap notifikasi pada telefon akan dihantar kepada Pebble dan membolehkan pengguna melihatnya sekilas pandang. Antara perkara yang boleh dilakukan termasuklah melihat siapa yang memanggil, menjawab atau meletakkan panggilan tersebut, SMS/Mesej akan terpapar dengan terus, menerima notifikasi dari telefon pintar anda dan pelbagai lagi yang turut disokong oleh aplikasi khusus untuk Pebble.

Pebble Smart watch -IMG_0348

Secara kasarnya, segala jenis notifikasi yang diberikan oleh telefon pintar anda akan dihantar terus kepada Pebble. Selain dari penggunaan panggilan, SMS dan permesejan, segala mesej dari WhatsApp juga akan dipaparkan jadi sekiranya anda menyertai ruang sembang yang mempunyai ramai peserta, setiap mesej dari mereka akan dihantar kepada Pebble dan perkara ini agak menjengkelkan kerana dengan setiap notifikasi yang dihantar, Pebble akan bergetar. Perkara ini juga akan mungkin akan mempengaruhi penggunaan bateri.

Buat masa ini tiada tetapan untuk menetapkan tahap gegaran Pebble. Solusi untuk masalah sebegini adalah dengan cara ‘Mute’ group WhatsApp tersebut. Pebble juga turut menyediakan tempoh tanpa gangguan ‘Do Not Disturb’ dimana pada waktu yang ditetapkan, tiada notifikasi dihantar kepada Pebble membolehkan anda untuk memakai Pebble sewaktu tidur.

Pebble Smart watch -IMG_0168 Pebble Smart watch -IMG_0164

Pengguna juga boleh menetapkan saiz tulisan bagi memudahkan pembacaan notifikasi yang diberikan. Seperti contoh diatas, aplikasi Sunrise memberikan notifikasi penerbangan dan perbezaan antara huruf besar dan kecil adalah seperti gambar diatas.

Pengguna perlu menetapkan aplikasi serta paparan antaramuka jam yang diinginkan menerusi aplikasi Pebble baik untuk iOS mahupun Android. Pada aplikasi ini pengguna boleh memasang aplikasi khusus untuk Pebble namun ia terhad kepada 8 aplikasi. Mungkin ini dilihat seperti satu kelemahan tetapi pada pendapat saya, ia bukan satu kelemahan yang signifikan. Ini kerana sekiranya anda ingin melakukan perkara yang lebih kompleks, keluarkan sahaja telefon pintar anda.

Pebble Smart watch -IMG_0046 Pebble Smart watch -IMG_0057

Antara aplikasi yang kerap saya gunakan pada Pebble adalah Swarm dan Prayer Times. Pengguna boleh menetapkan akses pantas (Quick Launch) terhadap aplikasi Pebble ini dengan cara menekan butang Up atau Down pada beberapa saat. Setelah menetapkan pilihan tersebut, jika saya berada di tempat yang saya ingin sahkan kewujudan saya pada Swarm, saya hanya perlu menekan butang ‘Up’ selama beberapa saat dan aplikasi Swarm akan dilancarkan pada Pebble, membolehkan saya ‘Check-in’ pada lokasi tersebut.

Pada jam tangan pintar Pebble juga terdapat Accelerometer yang boleh mengesan aktiviti kecergasan yang dilakukan seperti tapak dan goncangan. Malah apabila saya menggoncang Pebble sewaktu menggunakan Swarm pada Pebble, anak panah kearah lokasi tersebut bergerak. Bagi aktiviti kecergasan, saya menggunakan Misfit dan perlu memasang aplikasi iOS-nya. Namun sejak kemaskini Misfit 2.0, terdapat masalah synchronization pada pihak pembangun Misfit.

Pebble Smart watch -IMG_0065 Pebble Smart watch -IMG_0069

Satu lagi fungsi yang kerap saya gunakan pada Pebble saya ialah melihat berapa ramaikah pelawat Amanz pada masa nyata. Menerusi aplikasi Peblytics, saya tidak perlu lagi mengeluarkan telefon pintar untuk melihatnya. Justeru ini sekaligus mengurangkan kebergantungan saya kepada telefon pintar dalam mengakses maklumat ringkas seperti ini.

Pebble Smart watch -IMG_0020 Pebble Smart watch -IMG_0004

Antara aplikasi lain yang pernah dicuba adalah Pebble GoPro. Aplikasi khusus pada Pebble ini membolehkan pengguna melakukan tetapan rakaman GoPro mereka. Sekiranya anda pengguna GoPro pasti anda perlu menetapkan tetapan pada telefon pintar namun dengan aplikasi ini pengguna boleh melakukan tetapan dengan mudah melalui Pebble mereka.

Kesimpulan

Mungkin ulasan ini boleh dikatakan lewat memandangkan versi terbaru Pebble iaitu Pebble Time akan hadir tidak lama lagi namun Pebble generasi pertama akan masih dijual pada harga USD 99 ( ~RM 357 ) dan USD 199 ( ~RM 719) bagi Pebble Steel. Kemaskini untuk sistem operasi Pebble juga akan hadir iaitu Timeline, yang memfokuskan untuk memberikan maklumat kepada pengguna mengikut masa.

Jika dibandingkan dengan jam tangan pintar yang lain, Pebble dilihat mempunyai pelbagai kekurangan dalam ‘Wow-factor’. Pebble tidak mempunyai skrin sentuh, dan pada Pebble Time paparan skrin E-ink berwarna pula tidak setajam jam tangan pintar yang lain. Malahan tidak terdapat sebarang sensor denyut nadi pada Pebble namun mungkin bagi pihak pembangun Pebble kesemua ini bukanlah satu keperluan penting buat jam tangan pintar mereka.

Namun apa yang pasti Pebble telah sedikit sebanyak menjadi batu loncatan untuk trend pemakaian peranti jam tangan pintar. Pengumpulan dana untuk penghasilan Pebble Time di Kickstarter juga melebihi RM 73 juta, satu jumlah yang tinggi yang turut menandakan sokongan komuniti terhadap mereka.

Pro

  • Bateri bertahan lama sehingga 5-7 hari.
  • Tahan lasak dan kalis air.
  • Tali boleh ditukar-ganti dengan mudah (untuk versi Pebble Classic bukan Pebble Steel).

Kontra

  • Hanya boleh memuatkan 8 aplikasi pada satu masa.
  • Untuk versi ini, tiada skrin berwarna.

Skor Amanz 2015 - Pebble Smartwatch



Banyak lagi menarik FB kami

http://ift.tt/14Mtwjx
via Sembang Maniac
0 Komentar untuk "Ulasan – Jam Tangan Pintar Pebble"

 
Copyright © 2014 Sembang Maniac - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info